JKPWAS distruktur semula tangani dokumentasi penduduk Sabah

 Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KOTA KINABALU - Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) akan distrukturkan semula bagi menangani isu dokumentasi pengenalan penduduk negeri itu, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, mesyuarat pertama bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung jawatankuasa berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Semasa perjumpaan dengan ketua menteri (pagi tadi), antara yang dibincangkan ialah bagaimana kita boleh perkemaskan lagi pengurusan warga asing di Sabah serta tentang kerjasama di antara kerajaan negeri dan persekutuan ditingkatkan, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Muhyiddin sebelum itu menghadiri perjumpaan bersama warga agensi/jabatan bawah kementeriannya bersempena lawatan beliau ke Sabah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apabila JKPWAS distrukturkan semula, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai tugas lebih besar dalam menangani isu pendatang tanpa izin selain mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah dokumentasi penduduk Sabah.

Sementara itu, beliau berkata, JPN Sabah akan meminta ketua kampung di beberapa kawasan utama di negeri itu menjadi pelapor secara sukarela bagi merekodkan kelahiran dan kematian di kampung masing-masing agar tidak lagi timbul isu rakyat tanpa negara dan lain-lain.

“Selain itu saya meminta agar rakyat Sabah yang mempunyai masalah pendaftaran dapat memaklumkan kepada pejabat Jabatan Pendaftaran Negara terdekat agar masalah itu dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: