LTAPP lapangan terbang pertama ada 5G

Zairil (dua dari kanan) berinteraksi dengan robot yang diberi nama Pepper ketika melancarkan rangkaian 5G di LTAPP pada Ahad.
Zairil (dua dari kanan) berinteraksi dengan robot yang diberi nama Pepper ketika melancarkan rangkaian 5G di LTAPP pada Ahad.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) muncul lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai rangkaian 5G untuk kegunaan penumpang di situ.

Teknologi 5G di LTAPP itu merupakan usaha sama antara Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan YTL Communications Sdn Bhd.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kemunculan teknologi 5G di Pulau Pinang khususnya LTAPP dilihat dapat memberi nilai tambah dan komersial dalam memacu peningkatan ekonomi digital di negeri ini.

Menurutnya, dengan adanya rangkaian 5G di LTAPP, ia membolehkan rakyat Pulau Pinang menikmati pengalaman teknologi mudah alih yang terkini dengan kelajuan lebih tinggi dan rangkaian yang lebih terjamin.

"Menerusi teknologi 5G juga, rakyat boleh menikmati kelajuan muat turun, melayari laman sesawang dan penstriman video yang lebih pantas. Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di sini kini jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu.

"Ini adalah hasil usaha dan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan dan swasta khususnya industri telekomunikasi yang sudi melabur di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rangkaian 5G Pulau Pinang di LTAPP di sini pada Ahad.

Zairil menambah, kemudahan yang disediakan secara In Building System (IBS) itu diharapkan dapat meningkatkan nilai komersial dan tarikan LTAPP selain dapat memberi liputan internet yang lebih berkualiti.

"Kita berharap dengan pelancaran rangkaian 5G di Pulau Pinang baru-baru ini dan pelancaran 5G di sini (LTAPP), infrastruktur dan rangkaian 5G ini akan dapat menarik lebih ramai pelabur untuk terus melabur dan merancakkan lagi ekonomi digital di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, melalui Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang (Fasa 1) oleh DNB, sebanyak 151 tapak telah dikenalpasti bagi memancarkan spektrum 5G di kawasan pulau pada tahun ini.

"Daripada 151 tapak tersebut, sebanyak 58 buah struktur telekomunikasi 5G baharu akan didirikan manakala 93 buah struktur lagi adalah penaiktarafan daripada struktur komunikasi sedia ada.

"Bagi perancangan tahun 2023, melalui Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang (Fasa 2), sebanyak 235 buah struktur komunikasi bertaraf 5G akan didirikan di kawasan Seberang Perai dan tambahan 77 buah struktur komunikasi 5G lagi di kawasan pulau yang memfokuskan daerah Timur Laut," tambahnya.

Zairil berkata, kawasan-kawasan yang akan diberikan tumpuan dalam pelaksanaan fasa 1 dan fasa 2 adalah di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk, tumpuan orang ramai /pelancong, pejabat pentadbiran kerajaan dan kawasan perindustrian.

"Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada suku pertama tahun 2022, Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk di negeri ini iaitu 152.6 peratus iaitu melebihi kadar nasional 124.1 peratus.

"Sementara itu, bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Pulau Pinang mencatatkan kadar penembusan sebanyak 51.2 peratus, juga melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 41.9 peratus," katanya.