Dera amah: Sikap kemanusiaan rakyat Malaysia semakin pudar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Rosdi Amir, Mohd Syahiran
Gambar hiasan. Gambar kecil: Rosdi Amir, Mohd Syahiran
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia yang dilaporkan pada Khamis lalu oleh kedutaan negara tersebut menunjukkan sikap manusiawi sesetengah individu di negara ini dalam melayani warga luar semakin pudar.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (Johor), Rosdi Amir berkata, perkara ini tidak seharusnya terjadi memandangkan ramai dalam kalangan mereka hakikatnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ujar beliau, terdapat ramai rakyat Malaysia yang turut merantau ke luar negara bagi mencari peluang rezeki lebih baik.

“Apa perasaan kita kalau hal yang sama berlaku kepada mereka, bayangkan jika diantara mereka itu merupakan keluarga kita. Bukankah kita juga pasti tidak dapat menerimanya?

“Kita mesti ingat, tindakan-tindakan sebegini boleh memburukkan mata Malaysia di peringkat antarabangsa serta bakal mengeruhkan hubungan antara negara lain. Jangan lupa kita juga ada bergantung jasa kepada negara-negara luar dalam hal-hal tertentu,” kata Rosdi ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan bahawa daripada jumlah kes penderaan tersebut, 22 daripadanya disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007)

Rosdi ketika diminta mengulas tentang isu sindiket pemerdagangan dan penyeludupan melibatkan warga asing yang semakin meluas dalam negara ini menyatakan bahawa ia merupakan signal amaran bagi kerajaan untuk semakin berjaga-jaga serta mengambil langkah drastik bagi mematahkan kegiatan tersebut.

“Pihak kerajaan harus menggerakkan satu usaha bersepadu yang lebih efektif serta tidak sekadar mengharapkan pihak-pihak tertentu seperti Imigresen dan Maritim.

Artikel Berkaitan:

“Perlu juga dilakukan kerjasama sehingga ke peringkat yang paling bawah hatta dengan khidmat daripada pihak Jawatankuasa Ketua Kampung (JKK),” ujar beliau.

Jelas beliau, hal tersebut kerana sindiket berkenaan sangat kerap menjadikan kawasan luar bandar terutamanya pesisir pantai di sesetengah perkampungan sebagai tempat kegiatan penyeludupan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, Mohd Syahiran Muhammad berpendapat masyarakat yang majoritinya adalah berpendidikan, tidak wajar melakukan penindasan sedemikian rupa terhadap warga asing yang bekerja dengan mereka.

Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan untuk menangani masalah tersebut bagi memelihara hubungan dengan negara jiran.

“Perkara ini harus disegerakan sebelum hubungan baik Malaysia terutama dengan negara luar seperti Indonesia terjejas akibat isu penderaan terhadap warga mereka,” tegasnya.