Masjid Raja Lumu diperkenan Masjid Diraja kesembilan

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rafulin, Datuk Mohamed Raffe Chekku (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Mohd Shahzihan sambil diperhatikan Tengku Amir Shah (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Masjid Raja Lumu, Pekan Kuala Selangor pada Jumaat.
Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rafulin, Datuk Mohamed Raffe Chekku (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Mohd Shahzihan sambil diperhatikan Tengku Amir Shah (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Masjid Raja Lumu, Pekan Kuala Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Raja Lumu Pekan Lama di sini yang telah dinaik taraf dan beroperasi sepenuhnya pada Jumaat.

Baginda berangkat tiba di masjid berkenaan jam 12.30 tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 750 jemaah.

Ketibaan Tengku Amir disambut Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan dan ketua jabatan daerah Kuala Selangor.

Masjid Raja Lumu diserahkan pemaju, Kumpulan Syarikat Rafulin kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan memulakan solat Jumaat pertamanya serta dibuka secara rasminya kepada orang ramai hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, Masjid Raja Lumu diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Masjid Diraja yang kesembilan di negeri ini

Katanya, rumah ibadah yang mula dinaik taraf sejak 2019 itu satu-satunya Masjid Diraja di daerah Kuala Selangor.

"Kita amat menggalakkan mana-mana syarikat korporat seperti Kumpulan Syarikat Rafulin menyumbang wakaf masjid untuk kegunaan penduduk setempat dan perkembangan syiar Islam," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Masjid Raja Lumu, Pekan Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Pengerusi Kumpulan Syarikat Rafulin, Datuk Ir Mohamad Razali Othman berkata, masjid bernilai RM10.4 juta itu sepatutnya siap pada Februari tahun lalu, bagaimanapun mengalami kelewatan disebabkan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Dua faktor tersebut menyebabkan kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan dalam tempoh PKP dan selepas PKP pula berlaku kenaikan harga barang binaan dan kekurangan pekerja pembinaan," katanya.

Mohamad Razali memberitahu, penantian getir dan mencabar dalam pelaksanaan PKP bagi menyiapkan projek itu akhirnya dapat disiapkan selepas enam bulan daripada tempoh tersebut.

Ujar beliau, lebih signifikan dan memberi makna mendalam apabila masjid yang dahulunya berstatus masjid kariah telah diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dinaik taraf sebagai Masjid Diraja pada 8 Jun lalu.

Menurut beliau, Sultan Sharafuddin juga memperkenan menamakan masjid itu sebagai Masjid Raja Lumu Kuala Selangor.

"Masjid ini direka bentuk dengan ciri-ciri moden di samping mengekalkan sebahagian struktur masjid asal iaitu ruang solat di bahagian tengah.

"Fasiliti disediakan termasuklah bilik dan van jenazah, bilik penyediaan makanan, tandas, bilik golongan kenamaan (VIP), kemudahan orang kurang upaya (OKU) dan fasiliti kemudahan ibadah korban," ujarnya.

Beliau memberitahu, seni bina kubah masjid diperbuat daripada tembaga itu tidak perlu dicat pada masa depan kerana bahannya diimport dari Jerman.

Ujarnya, masjid yang terletak di kaki Bukit Melawati itu diharap dapat memberi nafas dan dimensi baharu hala tuju masjid agar ia dapat diimarahkan dengan program bermanfaat.

Jelas Mohamad Razali, beliau yakin dan percaya masjid itu berfungsi sebagai pemangkin industri pelancongan di Kuala Selangor.

"Tangga naik masjid yang lurus dan panjang serta reka bentuk masjid menarik dapat menggamit pelancong untuk singgah beribadah dan berehat," katanya.