Pembinaan Jambatan Palekbang dibina akhir tahun

Ismail Sabri melambaikan tangan kepada orang ramai semasa hadir ke Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat pada Jumaat.
Ismail Sabri melambaikan tangan kepada orang ramai semasa hadir ke Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan projek pembinaan Jambatan Palekbang sepanjang empat kilometer menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat, akan bermula hujung tahun ini selepas penantian selama 26 tahun.

Beliau berkata, pembinaan itu dijangka menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

"Saya difahamkan pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ismail Sabri berkata, komitmen berterusan kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Menurutnya, jambatan tersebut akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di pantai timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

Jambatan Palekbang merupakan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kos RM250 juta.

Rancangan untuk membina Jambatan Palekbang-Kota Bharu sejak 1996, bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan terutamanya di kawasan Tumpat dan Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!