PPS terakhir ditutup, semua mangsa banjir di Baling pulang

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada 6 September 2022.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada 6 September 2022.
A
A
A

BALING - Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, di sini ditutup pada jam 10 pagi selepas semua mangsa banjir yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang, pada Jumaat.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftanan Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, sebelum ini seramai 94 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran banjir kilat pada Selasa lepas.

"Penutupan PPS terbabit diumumkan oleh Pegawai Daerah Baling merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling pada jam 10 pagi tadi.

"Jambatan Bailey yang mengalami kerosakan akibat banjir pada Selasa lepas, masih ditutup kepada semua kenderaan dan pejalan kaki," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian pada petang Selasa itu, beberapa kawasan di Mukim Baling dan Mukim Kupang dilanda banjir kilat yang menjejaskan kira-kira 130 mangsa daripada 37 keluarga.

Dua PPS dibuka iaitu PPS Dewan Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan PPS Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir selepas rumah mereka dinaiki air.

Ini merupakan kali ketiga banjir kilat melanda Kampung Iboi dan kawasan-kawasan lain yang terletak di jajaran Sungai Kupang, selepas tragedi banjir aliran puing yang meragut tiga nyawa termasuk seorang warga emas dan ibu hamil empat bulan, 4 Julai lepas.

Banjir kilat kedua pula berlaku pada 28 Julai, namun tiada kehilangan nyawa berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan: