Ratu Elizabeth II dikenang kerana dedikasi luar biasa

Ratu Elizabeth II akan dikenang atas dedikasi luar biasanya yang menumpukan seluruh hayatnya untuk berkhidmat kepada Britain. - Foto Bernama
Ratu Elizabeth II akan dikenang atas dedikasi luar biasanya yang menumpukan seluruh hayatnya untuk berkhidmat kepada Britain. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ratu Britain Ratu Elizabeth II akan dikenang atas dedikasi luar biasanya yang menumpukan seluruh hayatnya untuk berkhidmat kepada Britain, kerajaan beraja dan Komanwel, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.

Beliau mengucapkan takziah kepada kerabat diraja dan rakyat Britain yang berdukacita atas kemangkatan baginda.

Charles berkata, beliau dan rakan-rakannya menerima banyak ucapan takziah dan penghormatan daripada rakan-rakan mereka di Malaysia.

"Kami sangat berterima kasih atas ingatan dan penghormatan yang dizahirkan terhadap baginda di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Istana Buckingham pada Khamis mengumumkan Ratu Elizabeth II, raja paling lama berkhidmat di Britain, mangkat pada usia 96 tahun.

Beliau berkata, bendera akan dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada Ratu sehingga Pengebumian Negara berlangsung dalam tempoh 10 hari lagi.

"Buku takziah digital kini tersedia di www.royal.uk untuk mereka yang ingin memberikan penghormatan," katanya.

Charles berkata, buku ucapan takziah akan dibuka kepada orang ramai di Malaysia dari 12 hingga 15 September di Menara Binjai, 2, Jalan Binjai, Kuala Lumpur, dari 8 pagi hingga 4.30 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan: