Jabeur mara ke final Terbuka AS

Jabeur - Foto Getty Images
Jabeur - Foto Getty Images
A
A
A

PEMAIN ranking kelima dunia, Ons Jabeur mara ke final Tenis Terbuka Amerika Syarikat (US Open) setelah mengenepikan cabaran pemain Perancis, Caroline Garcia, 6-1, 6-3 pada Jumaat.

Mengulas mengenai kemenangannya, pemain Tunisia berusia 28 tahun itu mengakui ia merupakan satu kejayaan yang cukup luar biasa.

Menurut Jabeur, dia mahu memastikan prestasi cemerlangnya berterusan pada aksi final yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.

“Bagi saya, kemenangan ini cukup luar biasa. Selepas mara ke final Wimbledon, saya selalu tertekan kerana gagal memenanginya.

“Namun, saya kini kembali berada di pentas final dan tidak mahu melepaskan peluang ini bagi merangkul gelaran Grand Slam saya yang pertama,” katanya.

Pada aksi separuh akhir, Jabeur mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Caroline 6-1, 6-3 bagi mengesahkan slot ke final kali ini dan bakal berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek yang menewaskan pemain Belarus, Aryna Sabalenka 3-6. 6-1, 6-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu Jabeur berkata, dia turut berbangga kerana muncul selaku pemain tenis wanita pertama dari Tunisia yang mara ke final kejohanan berkenaan.

Malah, Jabeur turut gembira dengan prestasinya walaupun beraksi di gelanggang simen (hard court) yang sebelum ini memberikan masalah kepadanya untuk beraksi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira kerana masih mampu beraksi dengan baik di gelanggang ini dan saya mahu teruskan kecemerlangan ini di pentas final pula,” ujar beliau.