OPR memang dijangka naik susulan prestasi ekonomi domestik

BNM mengingatkan bahawa pertumbuhan global berdepan cabaran daripada dasar memperketat monetari di kebanyakan negara. - Foto hiasan
BNM mengingatkan bahawa pertumbuhan global berdepan cabaran daripada dasar memperketat monetari di kebanyakan negara. - Foto hiasan
A
A
A

TINDAKAN Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan 25 mata asas (bps) dalam Kadar Dasar Semalaman kepada 2.50 peratus yang diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini sememangnya dijangkakan berikutan peningkatan ekonomi domestik, kata penganalisis.

MIDF Research dalam nota tinjauannya berkata, BNM turut menyatakan bahawa ekonomi global kekal di landasan pertumbuhan walaupun pada kadar lebih perlahan selain peningkatan dalam pasaran tenaga kerja Malaysia dengan perbelanjaan domestik terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi tempatan.

Bagaimanapun, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, BNM turut mengingatkan bahawa pertumbuhan global berdepan cabaran daripada dasar memperketat monetari di kebanyakan negara, tekanan inflasi yang kekal tinggi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.

"Kami berpendapat bahawa keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi itu sebagai bertepatan dengan pengembangan ekonomi domestik yang kukuh sebagaimana dipaparkan dalam data makroekonomi serta aliran inflasi asas,” katanya.

MIDF juga menyifatkan tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM itu adalah bagi memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan sejajar dengan aliran kenaikan inflasi asas serta permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Berikutan itu, ia menjangkakan normalisasi dasar selanjutnya berkemungkinan besar diputuskan dalam mesyuarat MPC pada November depan.

"Kami mengunjurkan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi dalam mesyuarat terakhir itu bagi tahun ini. Namun, keputusan itu bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga serta peningkatan keadaan makroekonomi, terutama pemulihan berterusan pasaran tenaga kerja dan permintaan domestik.

"Daripada perspektif penggal pertengahan, normalisasi kadar dasar itu diperlukan bagi mengelak risiko yang boleh menjejaskan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi lebih tinggi serta kenaikan baki hutang isi rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pandangan sama, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, kenaikan ketiga BNM sebanyak 25 mata asas itu sememangnya dijangka ramai berikutan data pertumbuhan suku kedua yang kukuh selain jangkaan prestasi berterusan dalam separuh kedua 2022 di tengah-tengah peningkatan inflasi.

"Petunjuk normalisasi yang berterusan itu memaparkan pandangan bank pusat itu bahawa pertumbuhan negara kekal di landasan selain memastikan tekanan permintaan daripada berlaku secara pantas dan mendorong inflasi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Profesor Madya Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu Bernama, BNM akan terus menggunakan kenaikan OPR untuk mengekang inflasi dan menjangkakan langkah sedemikian akan berterusan sehingga tahun depan.

"Ini berikutan kadar OPR semasa masih rendah iaitu pada 2.50 peratus berbanding sebelum pandemik iaitu 3.25 peratus. Selagi OPR kekal rendah, ini tidak berkesan dalam usaha mengawal kadar inflasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, subsidi yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan, termasuk produk keperluan asas dan perkhidmatan terpilih mencecah hampir RM80 bilion tahun ini yang dilihat sebagai kaedah lebih berkesan bagi memastikan inflasi kekal rendah.

"Bagi jangka panjang, tumpuan sepatutnya kepada usaha memacu pengeluaran domestik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya. - Bernama