POPIC promosikan Pahang kepada dunia

Mohd Sharkar (barisan depan, tengah) bersama tetamu jemputan dan pemenang kategori antarabangsa POPIC 2022 di Pantai Lagenda, Pekan pada Khamis.
Mohd Sharkar (barisan depan, tengah) bersama tetamu jemputan dan pemenang kategori antarabangsa POPIC 2022 di Pantai Lagenda, Pekan pada Khamis.
A
A
A

KERAJAAN Pahang berhasrat menganjurkan kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) yang julung-julung kali diadakan tahun ini sebagai acara sukan tahunan di negeri itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu secara tidak langsung mampu merancakkan aktiviti pelancongan sukan di Pahang.

“Insya-ALLAH sekiranya kita mendapat maklum balas yang positif daripada penganjuran POPIC tahun ini, kita akan menjadikan kejohanan sukan kanu antarabangsa ini sebagai acara tahunan sebagai signatur baharu negeri Pahang.

“Kita mempunyai pantai sejauh 240 kilometer di Pahang. Jadi kita hendak memperkenalkan beberapa pantai seperti Pantai Hiburan di Rompin, Pantai Lagenda di Pekan selain Pantai Balok, Pantai Cherating dan Pantai Teluk Cempedak di Kuantan kepada masyarakat setempat dan pelancong luar negara.

“Disebabkan itulah kita memilih pantai-pantai yang menarik dan bersih itu untuk mereka datang ke negeri Pahang selain melihat penganjuran perlumbaan kanu antarabangsa ini, sekali gus dapat mempromosikan Pahang kepada dunia,” katanya dalam sidang akhbar di Pantai Lagenda pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Sharkar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan penganjuran POPIC 2022 serta menyampaikan pingat kepada barisan pemenang Peringkat 2 kejohanan itu yang menarik penyertaan kira-kira 240 peserta dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan negeri berasa bangga apabila buat julung-julung kalinya dapat menganjurkan kejohanan kanu antarabangsa ini yang saya difahamkan peserta luar hadir daripada beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Malah, dengan kehadiran pengunjung-pengunjung termasuk dari luar negara, kita dijangka dapat menjana pendapatan RM3 juta hingga RM4 juta atas penganjuran kejohanan ini. Ia sesuatu yang baik walaupun kejohanan ini baru kali pertama diadakan di Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita harus mengambil langkah berani dengan menjadikan industri (penganjuran sukan) kanu sebagai satu signatur di Pahang. Apabila sudah 'established', kejohanan ini boleh diangkat seperti (perlumbaan berbasikal terulung dunia) Tour de France suatu hari nanti,” jelasnya.

POPIC 2022 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 mempertandingkan tujuh kategori antarabangsa SS lelaki dan wanita; kebangsaan TK1 lelaki: kebangsaan TK2 lelaki dan wanita serta inter varsiti lelaki dan wanita.

Peringkat 1 diadakan di Pantai Hiburan diikuti Peringkat 2 di Pantai Lagenda; Peringkat 3 di Pantai Balok, Kuantan; Peringkat 4 di Pantai Cherating, Kuantan dan Peringkat 5 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.