Najib terima RM60.6 juta dalam akaun peribadi pada 2011

Najib. - Foto Bernama
Najib. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima RM60.6 juta, di akaun peribadi AmIslamic Bank miliknya, pada 2011 lalu.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pembelaan ke-37 itu berkata, berdasarkan penyata akaun bernombor 211-202-200969-4, Najib menerima RM30,449,929.97 pada 24 Februari manakala RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen penyata akaun AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya.

Dirujuk dengan borang pembukaan akaun semasa berakhir nombor 694 itu, Uma Devi berkata, hanya Najib boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi kesemua akaun banknya.

Merujuk borang pembukaan akaun individu atas nama Najib pada 13 Jan 2011, beliau berkata, Ahli Parlimen Pekan itu merupakan penandatangan tunggal sah bagi cek yang dikeluarkan dari akaun bank tersebut.

“Ini bermaksud, hanya beliau boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi akaun ini.

“Akaun berakhir no 694 ini dibuka dengan bayaran deposit sebanyak RM500 sahaja dan penandatangan sah bagi akaun persendirian itu ialah Datuk Seri Najib,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, Najib telah menyerahkan surat kepada Pengurus Cawangan AmIslamic Bank Berhad bertarikh 26 Ogos 2013 untuk menutup akaun semasa dan simpanannya (Akaun berakhir no 694) dan akaun 211-002-20009048-1).

Menurutnya, Ahli Parlimen Pekan itu turut mengarahkan pihak bank supaya memindahkan wang di akaunnya itu berjumlah RM150 juta ke akaun lain iaitu AmPrivate Banking – 1MY bernombor 211-202-201188-0.

“Cek yang tidak digunakan akan dipulangkan kepada pihak bank serta Najib tidak boleh mengeluarkan apa-apa cek selepas penutupan akaun itu.

“Arahan lain di dalam surat ini adalah untuk mendebitkan baki amaun dari akaun-akaun tersebut menggunakan baki berkenaan untuk mengeluarkan draf bank di atas nama AmPrivate Banking-1MY,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam manakala peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Najib.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.