Fokus skandal projek LCS, bukan siasat Rafizi

Darwin Lim
Darwin Lim
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa fokus dalam siasatan kes skandal kapal tempur pesisir (LCS) dan hentikan segala intimidasi serta tekanan terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebagai pemberi maklumat dalam kes skandal tersebut.

Timbalan Pengerusi Biro Guaman dan Aduan Awam PKR Pulau Pinang, Darwin Lim Chee Chien berkata, walaupun banyak bukti dan maklumat telah dibekalkan oleh Rafizi, namun pihaknya mendapati tiada tindakan lanjut diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan juga seorang individu wanita yang bernama Zainab Mohd Salleh.

"Rafizi yang merupakan pemberi maklumat bagi kes ini sebaliknya disiasat dengan pantas dan telefon bimbitnya dirampas oleh pihak polis, seolah-olahnya Rafizi pula suspek yang terlibat dalam kes skandal tersebut.

"Ini jelas bahawa ada udang di sebalik batu di dalam penyiasatan kes ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Darwin Lim yang juga Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang turut menggesa polis supaya hentikan intimidasi dan penindasan terhadap Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap skandal berkenaan.

Katanya, Atyrah telah dipanggil beberapa kali oleh pihak polis untuk memberi keterangan untuk skandal projek LCS tersebut.

"Walaupun polis mempunyai kuasa untuk membuat siasatan, namun perlu diingatkan bahawa segala kuasa yang diberi kepada polis bukannya kuasa mutlak dan perlu digunakan dengan sederhana tertakluk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu perlindungan terhadap hak kebebasan diri.

“Memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mengendalikan kes ini secara telus serta mengambil tindakan yang segera terhadap individu yang terlibat walaupun status individu tersebut menteri," katanya.

Artikel Berkaitan: