Polis rakam keterangan Abd Latiff

Abd Latiff
Abd Latiff
A
A
A

PUTRAJAYA - "Rafizi pembohong," kata Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Ia susulan pendedahan dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengaitkan seorang wanita didakwa isteri Abd Latiff di dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Menerusi kenyataannya pada Khamis, Abd Latiff menyifatkan tohmahan Rafizi itu adalah semata-mata bersifat kepentingan politik.

"Berikutan laporan polis yang dibuat pegawai saya terhadap Rafizi pada Selasa, saya telah di didatangi pegawai polis pagi (Khamis) tadi untuk diambil keterangan," katanya.

Ahli Parlimen Mersing itu turut menegaskan beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

Rafizi sebelum ini mencabar Abd Latiff supaya memfailkan saman serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan yang dikaitkan dalam penyelewengan projek kapal LCS itu tidak benar.

Dalam laporan Ogos lalu, Rafizi mendakwa siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff bernama Zainab Mohd Salleh.

Beliau mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd Latiff.

Bagaimanapun pada 22 Ogos, Abd Latiff menafikan hal tersebut dan menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya sebagaimana dinyatakan dalam laporan berita.