PRU15: Pucuk pimpinan tentukan Razali bertanding di mana

 Razali dan Khaled
Razali dan Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pucuk pimpinan UMNO akan tentukan sama ada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana perkara itu perlukan persetujuan kepimpinan tertinggi parti selepas melihat dan menilai semua faktor.

"Ini (umum bertanding di Parlimen Pagoh) masih terlalu awal. Semua kerusi akan ditentukan pucuk pimpinan UMNO apabila sampai masanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar dikatakan akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus menyaksikan pertembungan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU15.

Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon Pas dan UMNO.

Sementara Razali yang menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13 tewas pada PRU14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Berkaitan: