Konsert artis antarabangsa perlu ikut acuan Malaysia

Mana-mana artis antarabangsa yang berhasrat mengadakan konsert di Malaysia perlulah patuh dan menghormati budaya negara ini. - Gambar hiasan 123RF
Mana-mana artis antarabangsa yang berhasrat mengadakan konsert di Malaysia perlulah patuh dan menghormati budaya negara ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PENGANJURAN konsert di Malaysia yang melibatkan artis antarabangsa telah mencetuskan perdebatan beberapa pihak terutama dalam kalangan pemimpin politik.

Ada yang menyokong kerana menganggap ia sekadar satu hiburan, selain membantu mempromosikan Malaysia di mata dunia dengan impak positif terhadap pelancongan negara.

Bagi peminat, konsert tersebut adalah saat ditunggu-tunggu untuk melihat sendiri secara dekat persembahan artis kesayangan mereka tanpa perlu ke luar negara.

Bagi mereka yang tidak bersetuju, konsert sedemikian dilihat sebagai satu program melalaikan dengan membawa pengaruh negatif terutama artis dari negara Barat.

Malah, ada parti politik yang memberi amaran tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan jika gesaan membatalkan konsert artis antarabangsa yang dijadualkan di negara ini tidak diendahkan.

Konsert sedemikian dikatakan menggalak budaya hedonisme, tidak bersesuaian dan bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil pendekatan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Menurut menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, ia bertujuan bagi memastikan setiap konsert hiburan yang diadakan tidak melampaui batasan. Inisiatif itu mendapat reaksi positif kerana kelulusan permohonan penganjuran konsert sewajarnya diperketat dengan meneliti pengaruh artis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana terdapat artis antarabangsa yang mengamalkan budaya hidup tidak sihat seperti kontroversi seksual, penagihan dadah dan Islamofobia, selain menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Meskipun Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum, agama dan budaya berbeza-beza namun tetap mengamalkan nilai-nilai keinsanan yang tinggi dengan menolak sebarang unsur negatif dari negara luar.

Artis merupakan golongan berpengaruh dan setiap tindak-tanduk mereka boleh mempengaruhi gaya hidup serta pemikiran peminat terutama anak muda.

Justeru, mana-mana artis antarabangsa yang berhasrat mengadakan konsert di Malaysia perlulah patuh dan menghormati budaya negara ini. Jika keras kepala, lupakan sahaja hasrat tersebut.