Negeri Sembilan mohon hantar sisa buangan di Selangor

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memohon pertimbangan Selangor untuk negeri ini menghantar sisa pepejal ke Sepang sementara waktu berikutan penutupan Tapak Pelupusan Ladang Tanah Merah (LTM) di Port Dickson sejak 29 Ogos lepas sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan Selangor dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat untuk kesejahteraan awam.

"Ini kerana untuk ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu sukar dan berada di kawasan tinggi tambahan dengan bilangan yang besar (sisa pepejal). Penduduk di kawasan setempat juga seperti di Seremban dan Kuala Pilah turut tidak berpuas hati susulan menerima kesannya.

"Ini bukan sebab unsur kecuaian tetapi disebabkan kelewatan insinerator (di Tapak Pelupusan LTM) beroperasi selain tempat pembuangan sampah itu tidak dikawal dengan penyediaan kolam-kolam takungan yang baik jadi Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengambil tindakan segera," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan operasi Tapak Pelupusan LTM di Port Dickson dihentikan sementara bermula 29 Ogos lepas sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak susulan kolam takungan sisa pepejal di situ telah pecah.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong menjelaskan, sisa pepejal yang dikutip dari kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson akan dihantar ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu sementara waktu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan berhubung insiden banana bot di Port Dickson, Aminuddin berharap Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memperketat pelesenan dan peraturan penggunaan banana bot.

"Ia bagi mengelakkan insiden pelanggaran bot yang akan menjejaskan keselamatan pengunjung seperti tular di laman sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular di Facebook video berdurasi 25 saat memaparkan sebuah bot yang menarik sekurang-kurangnya lima penumpang menaiki Great Big Marble secara tiba-tiba dilanggar bot lain dari arah bertentangan dalam kejadian di Pantai Batu 8, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dalam kenyataannya pada Rabu mengesahkan tiada mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Katanya, perkara tersebut juga telah diselesaikan secara baik dengan pengusaha bot.