'Baling antara daerah keutamaan KKDW' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua dari kanan) melakukan walkbout di Desa KEDA Sadek, di sini, pada Khamis.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) melakukan walkbout di Desa KEDA Sadek, di sini, pada Khamis.
A
A
A

BALING - Baling antara daerah diberikan keutamaan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pelaksanaan projek penempatan dan baik pulih rumah di kawasan luar bandar di Kedah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia memandangkan daerah itu telah dilanda banjir sebanyak 11 kali pada penggal lepas sahaja.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) juga mengenalpasti beberapa penempatan terutamanya rumah daif di bawah tanggungjawab KKDW bagi kawasan lain di seluruh Kedah.

"Bagi rumah yang terlalu uzur, kita akan bina baharu iaitu rumah Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT). Bagi rumah baharu, kita akan membelanjakan RM70,000 dan bagi membaik pulih, kita akan membelanjakan RM16,000.

"Kita lihat pada keseluruhannya di Kedah ini, kita memberikan keutamaan pada Baling kerana kita merasakan Baling dilanda. banjir sebanyak 11 kali sepanjang penggal yang lalu," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Program Walkbout Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Desa KEDA Sadek, di sini, pada Khamis.

Beliau memaklumkan, peruntukan khusus telah disediakan untuk Kedah, namun penyesuaian dan penambahan akan dilakukan selepas menerima senarai muktamad dari KEDA dan Pengarah KKDW Wilayah Utara.

Tambah beliau, nasib penduduk Baling juga sememangnya sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah daripada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, KEDA telah diberikan tanggungjawab membina lapan unit rumah berkembar PPRT dengan peruntukan RM528,000 di penempatan Desa KEDA Sadek ini pada tahun 2022.

"Kita tahu KEDA mempunyai tanggungjawab bukan hanya di kawasan-kawasan yang dilanda banjir tetapi kita memberikan keutamaan dengan kerjasama KKDW untuk membaiki semua infrastruktur, bekalan elektrik dan bekalan air di kawasan luar bandar," katanya.

Sebelum itu, beliau melakukan walkabout bersama Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamarudin Abd Akib bagi meninjau keadaan penduduk dan beramah mesra bersama mereka sempena Aidilfitiri ini.

Terdapat 56 Desa KEDA di seluruh Kedah dengan Desa KEDA Sadek adalah merupakan salah satu dari sembilan Desa KEDA yang terletak di daerah Baling.

Sebanyak 8 unit rumah berkembar PPRT dibina di Desa KEDA Sadek, yang mana ia salah satu insiatif kementerian dalam membantu mangsa bencana banjir kepala air di Kampung Iboi, Kupang pada Julai 2022 dan penduduk setempat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status perkembangan mengenai pelantikan Pengerusi KEDA, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya.