'Saya berhenti, bukan keluar Pas' - Mohd Khairuddin

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan, beliau 'berhenti' daripada Pas dan bukannya 'keluar' daripada parti itu.

Justeru bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu meminta ahli-ahli merujuk kepada perlembagaan parti mengenai perbezaan 'berhenti' dan 'keluar'.

Beliau turut mendedahkan secara terperinci mengapa keputusan berhenti daripada Pas dilakukan, termasuk tidak meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen sebagaimana tuntutan sumpah baiah calon.

Menurut Mohd Khairuddin, beliau akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Pas di mana pun saya berada.

"Saya akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara Pas dan UMNO, sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015, dan sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September 2019, dengan linangan air mata ahli-ahli Pas dan UMNO, dan juga sebagaimana semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Disember 2021.

"Saya berlapang dada dan tidak pernah membenci dan marah kepada ahli Pas yang mengkritik saya dalam komen-komen media sosial.

"Mereka sayangkan parti dan perjuangan, mereka adalah saudara seislam dan seperjuangan saya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu beliau menyangkal dakwaan pernah mengkritik Pas selepas ketiadaannya, namun hanya menegur tindakan sebilangan pemimpin dalam parti itu.

"Saya tidak pernah mengkritik Pas pada batang tubuh Pas dan idea perjuangannya, hanya menegur tindak-tanduk beberapa kerat pimpinan secara umum yang mempromosi pertembungan di sebalik suara mahukan penyatuan.

"Saya mesra UMNO dan Pas kerana itulah semangat cita-cita penyatuan dan akan kekal mesra kedua-dua pihak. Saya dilihat sepentas dengan UMNO dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan Pas dalam apa sahaja program, cuma barang kali sentimen saya 'berhenti' Pas menjadi hambatan sementara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa yang sama, saya sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana saya bukannya pembangkang kepada kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya, peruntukan kerajaan Persekutuan kepadanya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus diagihkan kepada rakyat semua peringkat, baik dari Pas mahu pun UMNO.

"Tidak pernah saya menolak permohonan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau rakyat, sentiasa mengalu-alukan permohonan kerana saya adalah ahli parlimen kepada semua rakyat.

"Di belakang tabir, saya turunkan peruntukan saya kepada ahli-ahli Pas berprogram walaupun nama saya dirahsiakan sebagai penyumbang kerana saya sendiri pun tidak minta untuk disebut," ujar bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu.