Ini implikasi TH tak diurus dengan telus sebelum ini

Mahfuz Omar
A
A

SHAH ALAM - Pendeposit Tabung Haji (TH) perlu meletakkan kesalahan kepada pengurusan terdahulu sehingga memaksa institusi kewangan Islam itu memutuskan nilai hibah yang terendah dalam sejarah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata, pemberian dividen atau hibah sebanyak 1.25 peratus bagi 2018 adalah kesan daripada pengurusan TH sebelum ini yang menyimpang daripada hala tuju sebenar.

“Ini adalah akibat daripada pengurusan TH yang sudah menyimpang daripada hala tuju sehingga wang TH diuruskan secara tidak telus.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar hibah terendah: CEO TH

“TH terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat campur tangan politik yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang terdahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Naib Presiden Amanah itu, pendeposit TH menjadi mangsa kepada kerugian akibat daripada penyelewengan pengurusan yang dibuat sebelum ini.

Pada masa sama, Mahfuz berkata, TH menerima kesan negatif daripada penyelewengan yang berlaku termasuklah skandal IMDB, pembelian tanah dengan harga tidak berasas dan turut diheret dalam pembelian saham FGV.

Katanya, tindakan kerajaan terdahulu yang mengagihkan hibah yang tinggi disifatkan tidak wajar kerana Bank Negara Malaysia mengakui kaedah itu adalah tidak sepatutnya.

“Mereka seolah-olah menggunakan wang pendeposit untuk menampung dividen, jadi sampai bila nak biarkan keadaan begitu berlaku.

“Mujur berlaku perubahan kerajaan dan ia dapat dikesan sebelum keadaan menjadi lebih buruk sehingga menunggu saat kematian,” katanya.

Tambah Mahfuz, walaupun keadaan sudah berada di tahap yang teruk tetapi ia masih boleh diselamatkan dan inilah penyelesaian yang dilakukan TH.

“Saya percaya bahawa di masa akan datang pasti berlaku kenaikan dalam hibah dan dividen ini,” katanya.

Semalam, Lembaga TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada 9.3 juta pendeposit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan menyelamatkan TH demi kepentingan pendeposit.