'Kenyataan Abdul Hadi selari dengan dapatan kajian'

Mohd Zuhdi
Mohd Zuhdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mempertahankan kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bukan Islam dan bukan bumiputera merupakan kumpulan besar menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Marang itu berasaskan fakta yang disokong dengan satu kajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti tempatan yang merekodkan 88 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah antara tahun 2010 hingga tahun 2014 adalah bukan Melayu.

Menurutnya, kajian tersebut turut mendapati 57.46 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah adalah dari kaum Cina, 30.51 peratus dari kaum India dan 12.03 peratus dari kaum Melayu.

Mohd Zuhdi dalam masa sama turut menempelak tindakan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang cuba menimbulkan sentimen perkauman melalui kenyataan yang dibuat Abdul Hadi itu.

“Sebelum ini tulisan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ada menyebut tentang perkara ini yang kemudian dijadikan isu oleh pihak PH terutamanya DAP. PH telah membuat beberapa laporan polis tentang tulisan ini dan cuba memainkan sentimen perkauman untuk mendapat ‘mileage politik’.

“Hakikat sebenarnya, apa yang disebutkan oleh Presiden Pas itu selari dengan dapatan kajian yang dinyatakan di atas, justeru PH tidak perlu mengapi-apikan sentimen perkauman untuk kepentingan politik mereka," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah beliau, sememangnya umum mengetahui pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018, lebih 90 peratus pengundi kaum Cina mengundi PH, manakala majoriti besar pengundi kaum India juga mengundi gabungan parti politik yang sama.

“Bagaimanapun, dalam beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri baru-baru ini, memperlihatkan undi kedua-dua kaum sudah mula beralih dari PH.

Artikel Berkaitan:

“Menyedari peralihan tersebut, pimpinan PH kembali memainkan sentimen perkauman seperti yang mereka lakukan terhadap tulisan Presiden Pas,” katanya.

Mohd Zuhdi dalam masa sama turut mendakwa tindakan PH khususnya DAP memainkan sentimen perkauman terhadap tulisan Abdul Hadi Presiden kerana mahu mengekang peralihan sokongan pengundi bukan Melayu daripada parti mereka.

Dari satu sudut yang lain pula katanya, PH merasa kepanasan kerana golongan pemberi rasuah sekarang sedang mengelilingi mereka terutamanya sejak PRU14 yang lalu.

“Oleh sebab itu, bila Presiden Pas menulis tentang hapuskan golongan pemberi rasuah, PH turut menerima bahang kepanasan tersebut.,” katanya.

Jelasnya, rakyat juga dapat menilai sendiri apa yang telah dilakukan PH sepanjang 22 bulan memerintah negara.

“Selepas PH menerajui kerajaan pada 9 Mei 2018 beberapa tuduhan salahguna kuasa dan rasuah telah berlaku dalam kalangan pimpinan PH. Semasa PH memerintah juga beberapa pegawai Menteri PH telah disiasat SPRM kerana disyaki menerima sogokan.

“Malah yang paling tidak boleh dilupakan, kes-kes yang melibatkan pimpinan utama PH termasuk antaranya kes rasuah telah digugurkan oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, yang sememangnya dikenali pro PH,” katanya.

Justeru katanya, PH tidak berhak mendakwa pemerintahan mereka selama 22 bulan bersih dari salahguna kuasa dan rasuah.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia.