Perak beri lesen L percuma kepada B40, OKU

Mohd Zolkafly (berdiri, tujuh dari kanan) bersama sebahagian penerima lesen L pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Lesen Motosikal Perak Sejahtera di Orang Asli One Stop Center, Bawong pada Selasa.
Mohd Zolkafly (berdiri, tujuh dari kanan) bersama sebahagian penerima lesen L pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Lesen Motosikal Perak Sejahtera di Orang Asli One Stop Center, Bawong pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak memberikan 1,571 lesen percubaan (lesen L) motosikal secara percuma kepada golongan B40, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) menerusi Program Lesen Motosikal Perak Sejahtera.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zokafly Harun berkata, pemberian lesen berkenaan diberikan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) kepada mereka yang layak di seluruh daerah di negeri ini.

Menurutnya, seramai 600 orang telahpun menerima lesen L berkenaan, manakala baki penerima akan diberikan pada penghujung September atau awal Oktober depan.

Negeri Perak merupakan negeri pertama memberikan lesen L percuma setelah mereka mengikuti kursus secara bertulis dan setelah mereka disahkan layak oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maka hari ini 600 peserta terima lesen percuma ini.

"Kalau ikutkan tak cukup, tapi inilah berdasarkan peruntukan setengah juta ringgit yang diluluskan menerusi PRE maka seramai 1,571 orang sahaja yang layak untuk menerima lesen L ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Lesen Motosikal Perak Sejahtera di Orang Asli One Stop Center, Bawong di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Menurutnya, jumlah penerima lesen berkenaan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

Beliau berhasrat untuk meneruskan program berkenaan dengan mencadangkan agar ia dimasukkan di dalam Bajet 2023 nanti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai perkembangan pembinaan laluan alternatif ataupun West Ipoh Span Expressway (WISE) yang diumumkan sebelum ini, Mohd Zolkafly menjelaskan perkara itu sedang mendapat kelulusan kabinet.

Katanya, lebuh raya baharu itu akan disegerakan pelaksanaannya setelah perjanjian dimuktamadkan dengan syarikat konsesi.

"Kita belum dapat pengesahan daripada pihak konsesi sama ada dimulakan dari Gopeng dahulu atau Kuala Kangsar.

"Tapi dalam peringkat awal dahulu saya difahamkan ia akan bermula di kedua-dua tempat iaitu di Kuala Kangsar dan Gopeng," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang.