Pertandingan cipta logo ulang tahun Funikular Bukit Bendera

Kon Yeow (tengah) ketika mempromosikan pertandingan mencipta logo sempena 100 tahun sistem Funikular Bukit Bendera.
Kon Yeow (tengah) ketika mempromosikan pertandingan mencipta logo sempena 100 tahun sistem Funikular Bukit Bendera.
A
A
A

GEORGETOWN - Sistem Funikular Bukit Bendera akan meraikan ulang tahun ke-100 sejak beroperasi pada 21 Oktober 1923.

Bersempena dengan sambutan itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang akan menganjurkan pertandingan mencipta logo bertemakan visual atau komponen yang kukuh bagi memperingati warisan dan sumbangan Funikular Bukit Bendera.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pertandingan mencipta logo itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bermula dari 6 September sehingga 6 Oktober 2022.

"Logo sambutan ulang tahun ke-100 haruslah bertemakan visual atau komponen yang kukuh bagi memperingati warisan dan sumbangan Funikular Bukit Bendera yang membawa transformasi sosioekonomi Bukit Bendera dan kawasan sekelilingnya.

"Pemenang akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 dan pas Funikular sah laku selama setahun serta hadiah edisi terhad, manakala lima hadiah saguhati akan menerima wang tunai berjumlah RM200 dan hadiah istimewa menanti pemenang," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Kon Yeow berkata, sambutan ulang tahun ke-100 itu akan memupuk minat baharu berkenaan sejarah Funikular Bukit Bendera dan akan menjadi cerminan transformasi Bukit Bendera sepanjang abad yang lalu.

Beliau berkata, dalam meraikan pencapaian ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang akan menganjurkan beberapa siri acara menarik pada tahun depan untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai pencapaian dan cabaran 100 tahun lepas, disamping melihat peluang baru pada masa depan.

"Funikular Bukit Bendera adalah satu-satunya pengangkutan seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara dan sudah pasti ia kekal sebagai salah satu ikon warisan Pulau Pinang yang paling terkenal di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan salah satu landasan terowong yang paling curam di dunia, dan telah membawa lebih 47 juta pengunjung, termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, penduduk dan masyarakat tempatan sejak 1924 untuk ke Bukit Bendera," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sambutan ulang tahun ke-100 itu juga akan mempromosikan sejarah, warisan budaya dan biodiversiti yang terdapat di Bukit Bendera, selaras dengan status sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO yang telah disenaraikan di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO (MAB) baru-baru ini.

Selain itu, terdapat pelbagai program menarik akan diadakan sepanjang tahun 2023 dengan Sambutan Ulang Tahun ke-100 akan merangkumi pelbagai program pendidikan dan webinar, pameran bergerak dan banyak lagi aktiviti yang melibatkan warisan sejarah dan semula jadi yang tidak ternilai di Bukit Bendera bagi menggalakkan lebih ramai orang menghargai keunikannya.

Antara acara utama yang akan diadakan seperti Penang Hill Festival, Penang Hill Heritage Forest Challenge dan Trash Free Hill yang menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna buat pengunjung dan masyarakat di negeri ini.