PRU15: BN harap rakyat beri mandat di Johor

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bergambar bersama Sukarelawan Selatan pada Majlis Ramah Mesra Parlimen Kulai di Dewan Raya Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bergambar bersama Sukarelawan Selatan pada Majlis Ramah Mesra Parlimen Kulai di Dewan Raya Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Barisan Nasional (BN) memerlukan mandat rakyat Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan keserasian hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang selari penting bagi menjayakan usaha memajukan dan merancakkan pembangunan negeri.

"Saya memikirkan agenda untuk majukan Johor, tetapi hendak majukan Johor tidak cukup ada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja kerana kita juga memerlukan kerajaan yang stabil di pusat.

"Apa yang berlaku pada 2018 (semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan), projek-projek yang dipersetujui BN dibatalkan, jadi jangan kita biarkan perkara ini berulang sebab itu rakyat kena berikan mandat,” kata ADUN Machap itu ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Parlimen Kulai, pada Selasa.

Bagi Johor, PRU15 dijangka hanya melibatkan pertandingan 26 kerusi Parlimen. Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lepas menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebelum itu, Onn Hafiz berkata, Kulai mempunyai potensi besar untuk dimajukan serta merupakan destinasi pelaburan yang strategik.

"Di Johor, termasuk Kulai amat mudah untuk menarik pelaburan, apabila nilai (pelaburan) tinggi bermaksud ada impak ekonomi, dari segi peluang pekerjaan, gaji dan pendapatan lebih tinggi ini semua akan membawa manfaat kepada kita,” katanya.

Pada majlis itu, Onn Hafiz mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf pembetungan di Kampung Jaya Sepakat, di sini bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: