PKR persoal adakah Zainab berperanan seperti Jho Low

A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad adakah individu yang bernama Zainab Mohd Salleh berperanan seperti Low Taek Jho atau Jho Low membabitkan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini disebabkan individu yang dikenali Zainab masih tidak dikenali ramai.

“Individu ini kita tidak kenali yang masih tidak muncul dan kenapa begitu hendak melindungi identiti beliau,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Selasa.

Laporan membabitkan skandal LCS itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Aizuddin Ariffin.

Dr Abd Latiff sebelum ini pernah menafikan bahawa individu bernama Zainab yang didakwa terlibat dalam skandal LCS merupakan isterinya.

Beliau turut dilapor membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwa memfitnahnya berkaitan isu tersebut.

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan berkaitan skandal LCS. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan berkaitan skandal LCS. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Akmal Nasrullah yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru turut mempersoalkan Dr Abd Latiff mengapa bersungguh-sungguh dalam isu ini sehingga ada laporan polis dibuat kepada Rafizi.

Artikel Berkaitan:

“Kenapa tidak berterus terang mengenai identiti beliau?saya pasti Rafizi tak pernah berjumpa atau kenal dengan Zainab ini.

“Kalau dilihat rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jelas terbukti Zainab dan Dr Abd Latiff ini berada di syarikat yang sama dan Dr Abd Latiff juga memberikan sahamnya kepada Zainab. Sepatutnya identiti Zainab ini tak boleh dilindungi lagi.

“Kalau betul Dr Abd Latiff nak menafikan, bawa Zainab keluar. Tunjukkan kepada orang ramai. Jangan jadi macam Jho Low sampai masa terlepas tak tahu ke mana,” dakwanya.

Selain itu, Akmal Nasrullah turut mendesak Ahli Parlimen Mersing itu untuk membuat pengisytiharan harta secara terbuka.

“Saya dah semak di laman web SPRM nama beliau ada sebagai seorang yang telah isytiharkan harta, cuma tiada butiran,” tegasnya.

Menurutnya, pengisytiharan harta itu termasuk rekod pegangan dalam perniagaan, perbelanjaan dan pendapatan.

Tambah Akmal Nasrullah, terdapat dua individu yang boleh mendesak Dr Abd Latiff mendedahkan hartanya secara terbuka iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau betul Datuk Seri Ismail Sabri nak bersihkan isu ini, beliau perlu mendesak Dr Abd Latif untuk isytihar harta secara terbuka.

“Yang kedua ada kuasa agar Dr Abd Latiff (isytihar harta) ialah Tan Sri Muhyiddin iaitu Pengerusi PN,” katanya.