Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital

Emilia Hanafi. - Foto fail Bernama
Emilia Hanafi. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal gagal memperoleh kebenaran bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang memulakan prosiding komital terhadapnya.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Emilia Hanafi.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili AGC berkata, hakim itu memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

"Prosiding dan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh disemak oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Keputusan permohonan itu disampaikan melalui e-mel.

Mohammad Sallehuddin berkata, Ahmad Kamal juga mendapati semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan kerana keputusan Mahkamah Syariah berhubung perintah komital dibuat pada 9 Februari lepas, namun Emilia memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pada 8 Jun.

Prosiding komital terhadap Emilia, 43, adalah berhubung tindakan beliau melanggar perintah mahkamah mengenai hak lawatan SM Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk ahli perniagaan itu mengambil tiga anak mereka.

Menurut permohonan semakan kehakiman itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang.

Permohonan itu mendakwa Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi Emilia tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:


Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi berdasarkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama