94,450 liter diesel bersubsidi dirampas

Arjunaidi (tengah) menunjukkan lori bonded yang dirampas
Arjunaidi (tengah) menunjukkan lori bonded yang dirampas
A
A
A

KAJANG - Polis berjaya merampas 94,450 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM 361,000 menerusi serbuan berasingan di dua gudang di sekitar Jalan Semenyih-Kajang di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sindiket dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu itu menggunakan kenderaan yang diubahsuai dengan tangki berkapasiti tinggi untuk mengisi minyak diesel sebelum dijual kepada pemain industri.

"Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) telah membuat serbuan di kawasan Semenyih.

"Polis berjaya menangkap 11 suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing berumur 19 hingga 59 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan pekerja am di gudang tersebut," katanya pada sindang media di lokasi serbuan, di sini pada Isnin.

Arjunaidi berkata, ahli sindiket terbabit akan membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda yang diubahsuai di stesen minyak sekitar Kajang sebelum dipindahkan ke tangki statik di dua gudang tersebut.

Tangki statik yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel terbabit
Tangki statik yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel terbabit

"Mereka tidak ada masa tertentu bila dia isi minyak. Sekali isi hanya dibenarkan sebanyak 250 liter sahaja jadi mereka akan pergi ke beberapa stesen minyak.

Kesemua minyak akan dipindahkan ke dalam tangki simpanan di gudang sebelum dijual semula kepada pengusaha industri dengan harga yang lebih murah sekitar RM4 ke RM5 berbanding harga industri tanpa subsidi yang ditetapkan pada RM5.70.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, polis merampas tujuh lori bonded yang diubahsuai mampu mengisi 3,000 liter minyak diesel, sebuah pacuan empat roda dengan tangki berkapasiti 400 liter minyak, tiga tangki statik mengandungi 39,000 liter diesel, dan 46 tong plastik mengandungi 27,050 diesel bersubsidi.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.5 juta ringgit dan nilai kerugian subsidi kerajaan sebanyak RM203,06.

46 tong plastik yang ditemui dalam salah satu gudang tersebut.
46 tong plastik yang ditemui dalam salah satu gudang tersebut.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dalang dan pembeli minyak diesel bersubsidi berkenaan," ujar beliau.