Pas lulus usul wujudkan subjek sains politik di sekolah

Sebahagian perwakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan Pas Pusat pada Ahad. - Foto Facebook Perhubungan Pas Kedah
Sebahagian perwakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan Pas Pusat pada Ahad. - Foto Facebook Perhubungan Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Muktamar Pas meluluskan sebulat suara usul yang menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan subjek Sains Politik untuk pelajar sekolah menengah.

Usul yang dibentangkan perwakilan Pas Kawasan Lenggong, Mohamad Suaid itu mencadangkan agar subjek berkenaan diserapkan kepada pelajar Tingkatan Empat, Lima atau Enam.

Mohamad berkata, pendidikan politik perlu diterapkan kepada anak muda sejak awal, bukan selepas umur 18 tahun.

"Apabila tiada subjek pendidikan politik di sekolah, remaja yang tamat sekolah pada umur 18 tahun akan mengundi dalam keadaan tidak matang.

"Ini akan beri kesan kepada ketidakadilan undian secara menyeluruh kerana anak muda akan mengundi mengikut persepsi, bukan atas kefahaman politik," katanya.

Usul kedua yang diterima dibentangkan Ahmad Taufiq Kamaruddin dari Pas Kawasan Kota Raja yang mahu kerajaan mewujudkan jawatankuasa bawah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengambil tindakan segera menggantikan tanah rizab Melayu yang susut.

"Kerajaan perlu kemukakan usaha pemeliharaan tanah rizab Melayu dan cari jalan gantikan tanah rizab yang sudah diambil. Hak bumiputera perlu dijaga," katanya.

Berdasarkan rekod, tanah rizab Melayu yang sebelum ini melebihi 50 peratus berkurangan mendadak sehingga 12 peratus sahaja.

Artikel Berkaitan:

Usul yang turut diluluskan berkaitan kawalan keselamatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lambakan warga asing.

Usul dibawa Pas Kawasan Titiwangsa, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin itu mahu kerajaan menggubal undang-undang lebih efektif bagi membanteras isu PATI selain meningkatkan lagi operasi penguatkuasaan.

"Pemerkasaan banteras isu ini diperlukan bagi mengekalkan keamanan sosial, politik dan ekonomi rakyat.

"Masalah ini menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan negara dan persempadanan, tetapi turut beri impak besar terhadap keselamatan, politik, sosial dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, anggaran warga asing yang tinggal secara sah dalam negara sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk Malaysia.

Usul lain termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu Islam sebagai strategi satu lawan satu bagi mengelak pertembungan parti politik Melayu Islam.

Usul berkenaan mahu Pas menyatukan parti-parti politik teras Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya tidak berlaku perpecahan undi selain menolak kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Usul memperkasakan penghasilan beras domestik bagi memenuhi 100 peratus keperluan beras negara juga diterima sebulat suara perwakilan yang hadir.

Dewan Muslimat Pas pula mengusulkan supaya kerajaan membentuk Jawatankuasa Khas bagi menjalankan kajian terperinci untuk pindaan akta tanah kawasan penempatan berkelompok GSA 1960 (Akta 530) dalam menambah baik pembahagian pusaka orang Islam melibatkan tanah-tanah rancangan.

Usul terakhir diterima sebulat suara ialah, Pas perlu tampil sebagai gerakan Islam menggerakkan penyatuan ummah merentasi sempadan negara dan benua.