Imigresen capai sasaran kutipan hasil RM3.5 bilion

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sidang media selepas menyertai larian pada 'Immigration Run 2022' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sidang media selepas menyertai larian pada 'Immigration Run 2022' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) berjaya mencapai sasaran kutipan hasil negara sebanyak RM3.5 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah yang berjaya diperoleh itu berdasarkan kepada kutipan dilakukan setakat 30 Ogos lalu.

“... bulan-bulan seterusnya nanti iaitu September, Oktober, November sehinggalah akaun kerajaan ditutup merupakan bonus,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program larian ‘Immigration Run 2022’, di sini, pada Ahad.

Khairul Dzaimee berkata, kutipan hasil diperoleh imigresen pada tahun ini dijangka boleh mencecah sehingga RM4 bilion dan ia antara lain akan turut dibantu dengan pelaksanaan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang akan dibuka bermula 1 Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara penyumbang terbesar kutipan hasil tersebut adalah daripada levi dikenakan terhadap pembaharuan pas lawatan kerja yang menurutnya kini berjumlah 1.35 juta hasil daripada kemasukan pekerja asing baharu.

“Selain itu kita mendapat kutipan daripada perkhidmatan pasport dan juga kompaun dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan imigresen,” ujarnya.

Khairul berkata, prestasi baik ditunjukkan Imigresen itu diharapkan dapat dapat mendorong Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar memberikan sedikit bonus kepada jabatan itu dalam Bajet 2022 bakal dibentangkan Oktober ini.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran ‘Immigration Run 2022’ itu berjaya menarik penyertaan hampir 3,000 peserta terdiri daripada pegawai Imigresen, rakyat Malaysia dan termasuk kumpulan pekerja serta pelajar asing.

Artikel Berkaitan: