UiTM FC kukuhkan kedudukan

Pemain Perak FC, Firdaus Saiyyadi melonjak tinggi bagi menanduk bola ke pintu gol UiTM FC dalam saingan Liga Premier pada Sabtu. - Foto FB Perak FC
Pemain Perak FC, Firdaus Saiyyadi melonjak tinggi bagi menanduk bola ke pintu gol UiTM FC dalam saingan Liga Premier pada Sabtu. - Foto FB Perak FC
A
A
A

UiTM FC semakin mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Premier dengan meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Perak FC 2-1 pada aksi Liga Premier di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Bermula baik sejak wisel permulaan menyaksikan jentera serangan UiTM FC berjaya merobek gawang skuad The Bos Gaurus pada minit ke-15 menerusi Faris Hafiz Azhar.

Faris Hafiz kemudiannya menambahkan tekanan pelawat apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-24.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun menyaksikan skuad Seladang itu tidak mudah patah semangat dengan mengasak hebat ke gawang tuan rumah dalam usaha merapatkan jurang gol.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Wan Zack Haikal Wan Noor menjaringkan gol pertama Perak FC pada minit ke-35.

Bagaimanapun tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan Perak FC hingga tamat babak pertama.

Babak kedua bersambung menyaksikan Perak FC semakin menggandakan asakan dalam usaha menjaringkan gol penyamaan, namun kebanyakan asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain mudah dikekang benteng pertahanan UiTM FC.

Minit ke-88 menyaksikan skuad Kejor Yob Kejor itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Khairul Asyraf Ramli diperintahkan keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beraksi dengan 10 pemain nyata menyukarkan lagi skuad Seladang untuk menjaringkan gol penyamaan dan menyaksikan kedudukan 2-1 berpihak kepada UiTM FC kekal hingga ke wisel penamat.