Vlahovic jelmakan tiga mata Juventus

Vlahovic
Vlahovic
A
A
A

PENYUDAH Dusan Vlahovic membolehkan Juventus melonjak ke tempat tiga Serie A, ketika jaringan kemenangan 2-1 ke atas Lecce itu mengakhiri kemarau gol liga pertamanya dalam tempoh hampir tiga bulan.

Gol kemenangan jaringan penyerang Serbia lima minit sebelum separuh masa di Stadium Allianz, Turin itu menyaksikan The Old Lady mengumpul 63 mata hasil 33 perlawanan.

Gol kesembilan liga bekas penyerang Fiorentina itu, dan gol pertamanya sejak awal Februari, dijelmakan selepas sepakan penalti Assan Ceesay pada minit ke-37 menyamakan tendangan percuma awal minit ke-15, Leandro Paredes.

“Ya, dia tidak hanya menjaringkan gol yang hebat, malah persembahannya bertambah baik sepanjang perlawanan.

“Dia tidak pernah berdepan situasi seperti ini sebelum ini, kerana semasa bersama Fiorentina semuanya sentiasa berjalan lancar.

“Namun bersama kelab besar lagi berpengaruh seperti Juventus setiap pemain mempunyai tempoh seperti ini dalam karier mereka dan hanya perlu melaluinya,” kata pengendali Juventus, Massimiliano Allegri.

Vlahovic juga merupakan seorang daripada dua pemain selain Erling Haaland dilahirkan 2000 yang telah menjaringkan 60 dalam liga utama di Eropah.

Juventus kini berada satu mata di belakang Lazio, yang menjinakkan Sassuolo 2-0 pada Rabu dengan mengetahui tanpa kemenangan akan memberikan Napoli kejuaraan liga pertama sejak 1990 sebelum pendahulu bertandang ke Udinese pada Khamis

Biarpun begitu kemenangan Lazio di Stadio Olimpico, menyaksikan Napoli hanya memerlukan satu mata lagi daripada enam perlawanan terakhir untuk merangkul kejuaraan Scudetto.

Sementara itu, kemenangan angkatan Allegri mengakhiri rekod empat perlawanan tanpa kemenangan, namun peluang untuk menjadikan Liga Juara-Juara bergantung pada keputusan baharu berhubung potongan 15 mata berikutan aktiviti perpindahan terlarang yang dibatalkan selepas rayuan bulan lalu.

Dalam pada itu, kekalahan meninggalkan Lecce empat mata di atas zon penyingkiran, walaupun perjuangan untuk bertahan dibantu Spezia yang berada di tangga ke-18 tumbang 2-3 di Atalanta, yang melonjak ke tempat Liga Juara-Juara.