Dua nama ganti Carrick

MASA depan Michael Carrick selaku ketua jurulatih Manchester United dilaporkan berada di penghujung susulan kekalahan memalukan 0-3 di tangan Bournemouth di laman sendiri pada Ahad.
Suasana di Old Trafford bertukar tegang apabila ribuan penyokong menyaksikan skuad kendalian Carrick dibelasah oleh pasukan pelawat, sekali gus melakar permulaan musim terburuk kelab itu dalam sejarah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kekalahan itu turut diburukkan lagi dengan krisis dalaman susulan keputusan mengejut mengenepikan kapten pasukan, Bruno Fernandes di bangku simpanan sepanjang 90 minit perlawanan.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada kritikan terbuka Fernandes terhadap pendekatan taktikal Carrick pada pertengahan minggu.
Keputusan mengecewakan itu menyaksikan United kini terperosok di tangga ke-16 liga hanya berkelebihan satu mata di atas zon penyingkiran.
Rentetan prestasi longlai itu, pengurusan The Red Devils kini sedang mempertimbangkan dua pengendali berprofil tinggi iaitu Eddie Howe dan Julian Nagelsmann bagi mengisi kerusi panas di Old Trafford sekiranya Carrick dipecat.
Legenda United, Gary Neville mengakui kedudukan Carrick kini sudah berada di tahap kritikal dan sukar diselamatkan.
"Keadaannya kini semakin mustahil untuk Michael Carrick terus bertahan sebagai pengurus Manchester United. Itulah hakikat dan masalah terbesar yang dihadapi kelab ketika ini," katanya.
Mengikut laporan antarabangsa, sekiranya lembaga pengarah United memutuskan untuk membuat rombakan drastik, Howe dan Nagelsmann muncul sebagai calon pilihan utama.
Kelebihan kedua-dua pengendali ini adalah status mereka yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan, sekali gus membolehkan United mengelak daripada membayar pakej pampasan yang tinggi kepada kelab lain.
Howe yang menganggur sejak meninggalkan Newcastle United pada Julai lalu sebelum ini pernah mendapat sokongan bekas pengarah sukan kelab, Dan Ashworth.
Walaupun pada asalnya merancang untuk berehat panjang, beliau difahamkan terbuka untuk mengadakan rundingan bagi mengembalikan kestabilan di kem The Red Devils.
Sementara itu, Nagelsmann yang baru sahaja menamatkan tugasannya bersama skuad kebangsaan Jerman turut menjadi pilihan menarik.
Hubungan baik pengendali berusia 39 tahun itu dengan ketua pengambilan pemain United, Christopher Vivell ketika bersama di RB Leipzig dilihat mampu memacu struktur sukan baharu yang dimahukan United.
Dalam pada itu, bekas pertahanan Liverpool yang kini bertindak sebagai penganalisis sukan, Jamie Carragher berpendapat situasi di bilik persalinan United sudah terlalu 'toksik' dan Carrick perlu disingkirkan serta-merta demi menyelamatkan maruah pengendali berkenaan.
"Carrick perlu dilepaskan daripada tugasnya malam ini juga. Bukan sahaja demi kebaikan Manchester United, tetapi juga untuk masa depan Carrick sendiri. Situasi ini sudah tidak lagi boleh dipertahankan," tegas Carragher.
Carragher sebaliknya mencadangkan agar United memikat pengurus Aston Villa, Unai Emery selain nama Antonio Conte yang turut berada dalam perbincangan awal pihak pengurusan, biarpun kedua-duanya bukan calon utama buat masa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
