PRU15: Pas tambah calon muda, wanita

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan kehormat Jabatan Amal Malaysia sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Sabtu. - Foto Perhubungan Pas Kedah
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan kehormat Jabatan Amal Malaysia sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Sabtu. - Foto Perhubungan Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Pas akan menambah jumlah calon daripada kalangan anak muda dan wanita untuk bertanding bagi kerusi boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, persediaan itu bukan sahaja bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia dimiliki oleh calon.

"Di sini peranan calon yang layak sangat penting untuk memenuhi syarat ‘Boleh Menang’, ‘Boleh Diterima’, dan ‘Boleh Mentadbir’ bagi mengisi kemenangan.

"Selain itu, kalangan yang berwibawa dan profesional dalam Pas tidak akan tercicir dan terus menyumbang dalam konsep Kerajaan Teknokrat yang tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja," katanya ketika ucapan aluan dan perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Sabtu.

Tambah Abdul Hadi, jentera pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah memiliki kekuatan organisasi, petugas bagi setiap Unit Daerah Mengundi (UDM), pasukan kempen yang cekap dan berkesan sehingga gerak gempur pemilih.

Abdul hadi berkata, dalam perkembangan sama, Pas perlu menguasai Pengundi Tidak Berparti (PTB) dengan melaksanakan pendekatan berilmu, bermaklumat, tidak menipu, berkebajikan dan kepimpinan yang mesra dan cakna rakyat.

"Sehubungan itu, Pusat Khidmat Masyarakat perlu bergerak aktif dan berkhidmat secara efektif kepada semua rakyat termasuk PTB," katanya.

Abdul Hadi turut mengingatkan Pas supaya mesra NGO dan boleh bekerjasama bagi mendekati kumpulan PTB menerusi aktiviti yang tidak berunsur kepartian.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mahu Pas mengambil kira saiz pengundi warga emas yang semakin meningkat di setiap Parlimen atau DUN.

"Justeru, jentera pilihan raya perlu menyantuni pengundi warga emas dengan

memperkasa Pasukan Kempen Assabiqun bagi mencapai sasaran strategik kemenangan di Parlimen dan DUN.

"Bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, Pas akan terus membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, urus tadbir yang baik, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan Pas," katanya.

Dalam pada itu beliau meminta rakan bukan Islam memberi peluang kepada Pas untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil.