Jana pendapatan dengan jual anak Merbau

Seorang peserta, Johari Chot menunjukkan anak-anak pokok Merbau di tapak semaiannya di Kampung Tanjung Puput.
Seorang peserta, Johari Chot menunjukkan anak-anak pokok Merbau di tapak semaiannya di Kampung Tanjung Puput.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memperkenalkan program Jaminan Beli Balik Tapak Semaian Tasik Chini bagi membantu masyarakat Orang Asli setempat mencari pendapatan tambahan.

Projek perintis diusahakan 14 peserta masyarakat Orang Asli suku Jakun itu melibatkan aktiviti semaian dan menjual balik benih pokok balak spesies Merbau.

Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, projek rintis itu memberi peluang kepada JPNP membeli anak pokok Merbau untuk ditanam semula di kawasan bekas lombong di Tasik Chini.

Menurutnya, JPNP menyediakan keperluan semaian termasuk polibeg, baja, tanah hitam dan jaring peneduh.

"Peserta hanya perlu mencari biji benih, semai dan jaga, kemudian jual apabila pokok matang.

"Kami akan membeli semua benih pokok yang mencapai umur tiga hingga empat bulan untuk ditanam semula di kawasan bekas lombong di Tasik Chini," katanya kepada pemberita, pada Sabtu.

Nurfazliza berkata, kualiti anak pokok yang dihasilkan peserta program itu memuaskan dan pengeluaran benih pokok sedang ditingkatkan.

Tambahnya, tapak semaian secara individu itu diusahakan di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang peserta, Johari Chot, 35, dari Kampung Tanjung Puput berkata, bekalan biji benih pokok Merbau diperoleh dari kawasan Tasik Chini dan sepanjang Sungai Pahang.

Menurut Johari, selain menyemai biji benih, dia mencari anak pokok yang tumbuh untuk ditanam semula dalam polibeg.

"Proses menyemai biji benih pokok Merbau mudah dilakukan dan selepas tumbuh ia dipindahkan ke dalam polibeg sehingga berumur tiga bulan.

"Kali pertama saya berjaya menjual lebih dua ratus anak pokok Merbau berumur tiga bulan dan kali ke dua lebih enam ratus anak pokok.

"Anak benih dibeli JPNP dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan harga RM3 sepokok," katanya.

Bagi Lina Baharin, 46, pula, dia menggunakan masa terluang mencari biji benih Merbau bersama beberapa penduduk kampung di kawasan Tasik Chini dan sepanjang Sungai Pahang.

"Usaha ini mudah dan memberikan hasil agak lumayan," katanya.