Rajagobal sedia teliti tawaran pasukan Liga-M

Datuk K Rajagobal
Datuk K Rajagobal
A
A
A

BEBERAPA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dilaporkan berminat mendapatkan khidmat bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal.

Tiga pasukan iaitu Selangor FC, Kelantan FC dan Perak FC mula dikaitkan dengan Rajagobal, antara jurulatih tempatan yang cukup berpengalaman di pentas Liga-M.

Bagaimanapun, Rajagobal memberitahu, beliau masih belum menerima sebarang ‘lamaran’ atau tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan setakat ini.

Menurut Rajagobal, sekiranya terdapat tawaran yang diberikan itu menepati cita rasa yang diinginkan, beliau tidak menolak akan kembali ke bidang kejurulatihan semula.

“Buat masa ini, belum ada tawaran lagi. Tetapi jika ada tawaran yang sampai, saya harus teliti terlebih dahulu sebelum mempertimbangkannya.

“Kalau syarat yang diletakkan mereka itu kena dengan saya, mungkin saya tidak menolak untuk kembali dalam bidang kejurulatihan,” katanya kepada Sukan Sinar. Nama Rajagobal tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pernah membimbing beberapa pasukan seperti PKNS, Selangor, Kelantan dan Sarawak.

Beliau juga diberi kepercayaan menerajui skuad kebangsaan, sama ada di peringkat senior mahupun junior sebelum dilantik sebagai pengendali Brunei pada 2020.

Namun, Rajagobal menamatkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD) selepas mencapai persetujuan bersama pada penghujung Januari lalu walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Rajagobal membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF 2010 selepas membimbing skuad Bawah 23 (B-23) negara meraih pingat emas Sukan SEA 2019 di Laos.