Kembali ke BAM bukan jawapan

Zii Jia ketika menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen dalam perlawanan akhir di Utilita Arena, Birmingham, England, pada 21 Mac 21, 2021. -Foto AFP
Zii Jia ketika menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen dalam perlawanan akhir di Utilita Arena, Birmingham, England, pada 21 Mac 21, 2021. -Foto AFP
A
A
A

KEMBALI semula menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan jawapan terbaik kepada penyelesaian kemerosotan prestasi bintang perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.

Sebaliknya Zii Jia perlu diberikan lebih ruang untuk menilai semula prestasinya yang mula merudum dalam tempoh seminggu dalam dua kejuaraan di Jepun baru-baru ini.

Malah tegas penganalisis sukan tanah air, Mohd Sadek Mustafa, Zii Jia juga perlu berlapang dada menerima kemerosotan prestasinya dan kembali memperkemaskan semula struktur organisasinya.

Katanya, Zii Jia juga perlu melakukan segera penambahbaikan dan mengadaptasi segala transformasi supaya pemain tersebut tidak terus tertekan dan hilang fokus selepas ini.

Mohd Sadek
Mohd Sadek

“Sejujurnya kita memberikan pengharapan terlalu tinggi kepada Zii Jia untuk meraih lebih banyak kejuaraan selepas dia keluar dari BAM, yang secara tidak langsung sebenarnya satu tekanan kepadanya.

“Sebenarnya bagi saya banyak perkara yang perlu disetting semula Zii Jia selepas bergerak secara profesional baik dari analisis prestasi, taktikal yang tidak sama seperti dinikmati ketika bersama BAM.

“Sekiranya pun dia kembali kepada BAM, namun prestasi dirinya masih sama adalah lebih baik dia berusaha memperbaiki kelemahannya dari luar kerana hanya Zii Jia lebih mengetahui kemahuannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod Zii Jia tewas dua perlawanan kompetitif dua kali berturut-turut dalam tempoh seminggu bermula ditunjukkan jalan keluar pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia.

Lebih malang pemain berusia 24 tahun itu tewas kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21.

Pemain nombor dunia tersebut selepas itu dihantar pulang seawal pusingan pertama pada Terbuka Jepun apabila dijinakkan pemain India, K Srikanth 20-22, 21-23 dalam tempoh 37 minit.

Dua keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai persediaan permain tersebut dalam menghadapi dua kejohanan berkenaan selepas mengambil keputusan menarik diri dari Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan alasan memberikan tumpuan di Kejohanan Dunia sebelum ini.

Prestasi hambar Zii Jia bermula di Terbuka Malaysia apabila ditewaskan pemain Indonesia, Shehar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh 66 minit pada pusingan kedua sebelum menarik diri dari Masters Malaysia pada Julai lalu.

Pada masa sama jelas Mohd Sadek berkata, Zii Jia perlu berbelanja besar bagi melengkapkan barisan kejurulatihannya agar kembali berdaya saing seperti ketika menjuarai Kejuaraan Seluruh England 2021 lalu.

Katanya, pemain profesional dunia pun sebenarnya akan berbelanja besar bagi memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik sama seperti dilakukan pemain tenis dunia Roger Federer.

“Zii Jia sekarang ini bukan lagi Zii Jia yang kita kenali ketika menjuarai kejuaraan Seluruh England 2021 yang mana corak permainannya sukar dijangka lawan.

“Dan sekarang harus diingat bahawa pesaing Zii Jia juga telah mengkaji corak dan gaya permainannya sebelum bermula sesuatu kejohanan.

“Jika dulu ketika di bawah BAM mungkin Zii Jia akan mendapat maklumat secukupnya bagi membolehkannya lebih bersedia sebelum sesuatu kejohanan bermula.

“Namun apabila bergerak secara profesional Zii Jia perlu memastikan semuanya diuruskan dengan sendiri dari mula sehingga akhir,” katanya yang turut menasihati pemain tersebut meletakkan sasaran mara separuh akhir atau final dalam setiap kejuaraan.

INFO

Status Pencapaian Zii Jia Sejak Profesional

Terbuka Jerman

- Separuh Akhir

Seluruh England

- Separuh Akhir

Kejohanan Badminton Asia

- Juara

Terbuka Thailand

- Juara

Masters Indonesia

- Suku Akhir

Terbuka Indonesia

- Separuh Akhir

Terbuka Malaysia

- Pusingan Kedua

Kejohanan Badminton Dunia

- Pusingan Ketiga

Terbuka Jepun

- Pusingan Pertama