Hati-hati Zii Jia

 Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia perlu berhati-hati bagi mengelakkan digugurkan daripada projek Road To Gold (RTG) selepas terus mempamerkan prestasi kurang memuaskan tewas seawal pusingan pertama di Kejohanan Badminton Asia (BAC 2023).

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menolak kemungkinan tersebut namun beranggapan masih terlalu awal untuk membuat keputusan selain turut positif pemain nombor empat dunia itu akan kembali bangkit.

"Saya kira bukan sahaja Zii Jia tetapi semua atlet (berisiko digugurkan). RTG ini dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

"Kita akan melakukan penilaian setiap dua bulan prestasi atlet. Kemungkinan juga ada pemain baharu yang akan masuk dalam program ini pada penghujung tahun.

"Namun, untuk nak kata Zii Jia akan terkeluar adalah terlalu awal. Kita nak sesuatu yang positif termasuk semua atlet. Kecuali prestasi dia betul-betul menurun. Namun, kita harap dia akan kembali. bukan sahaja Zii Jia tetapi juga mana-mana atlet," katanya ketika ditemui media di Majlis Terbuka Aidilfitri di kediamannnya pada Sabtu.

Zii Jia yang menghuni ranking keempat dunia memulakan kempen musim ini dengan prestasi suram apabila tersingkir awal di Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman, bagaimanapun menunjukkan peningkatan selepas mara ke separuh akhir Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Kekalahan di pusingan pertama BAC 2023 itu sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada Zii Jia yang sebelum ini dipertikaikan selepas disenaraikan dalam projek RTG itu.

Dalam pada itu, Hamidin turut akan membuat pertemuan dengan semua pemain badminton negara selepas saingan BAC 2023 berakhir.

"Saya akan buat pertemuan dengan semua pemain badminton apabila mereka kembali dari Dubai. Ada beberapa perkara yang telah saya susun berbincang dengan mereka.

"Apabila kita sudah bersedia untuk pergi Olimpik kita kena bagi latihan atau kerja yang kuat. Bagi saya pemain se[erti Zii Jia, Ng Tze Yong dan beregu kita pernah kalahkan pemain hebat.

"Maknanya kalau 'right time, right place' kita akan ada peluang cerah di Paris. Jadi kita kena kerja kuat dalam tempoh setahun ini," katanya.