Ismail Sabri tegaskan idea Keluarga Malaysia bukan retorik

Antara pengunjung yang hadir pada hari pertama program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, pada Jumaat. - Foto Bernama
Antara pengunjung yang hadir pada hari pertama program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi pendirian idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukanlah retorik atau slogan semata-mata.

Ismail Sabri berkata, ia sebaliknya merupakan satu semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara demi kepentingan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini.

“Jawapannya mudah kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Astaka Utama Stadium Darul Aman, di sini, pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama

Ismail Sabri menerangkan, dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia.

”Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kata beliau, pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan.

Tambah Ismail Sabri, ini merupakan usaha mencari ‘kebersamaan’ agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya.

Ismail Sabri mengingatkan, dalam Islam, nilai Tasamuh yang bermaksud toleransi sebenarnya telah lama berlangsung dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan kaum.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bukan mudah mempertahankan nilai Tasamuh andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan.

“Jadi, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.

“Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’ yang kita miliki,” katanya.

Ismail Sabri berpesan, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kuncinya ada di tangan kita semua, seluruh Keluarga Malaysia.

“Ini kerana hanya dengan keharmonian sahaja kita mampu mendapatkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi,” katanya.