Sultan Selangor zahir dukacita pemergian Sir Francis McWilliams

Mendiang Sir Francis McWilliams menerima darjah kebesaran Dato’ Diraja Selangor daripada Sultan Salahuddin pada tahun 1973.
Mendiang Sir Francis McWilliams menerima darjah kebesaran Dato’ Diraja Selangor daripada Sultan Salahuddin pada tahun 1973.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Datuk Sir Francis McWilliams yang meninggal dunia pada usia 96 tahun di United Kingdom pada Rabu.

Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah, mendiang dilahirkan pada 1926 dan menetap di Tanah Melayu pada 1953 sebelum memulakan karier sebagai pembantu jurutera di Majlis Perbandaran Melaka.

Menurut hantaran tersebut, mendiang dilantik sebagai jurutera bandar di Petaling Jaya Development Corporation (PJDC) dan bertanggungjawab terhadap perancangan awal pembangunan kawasan Petaling Jaya pada tahun 1954.

Baginda bertitah, mendiang bersara sebagai pengurus besar syarikat tersebut selepas 10 tahun berkhidmat di agensi berkenaan.

"Di atas jasa dan baktinya dalam membangunkan negeri Selangor, Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan darjah kebesaran Dato’ Diraja Selangor kepada mendiang pada tahun 1973.

"Pada tahun 1976, mendiang pulang ke United Kingdom dan dilantik sebagai Lord Mayor of the City of London pada tahun 1992 serta dikurniakan pingat tertinggi Knight Grand Cross of the Most Excellent Order of the British Empire oleh Queen Elizabeth II.

"Baginda berharap keluarga khususnya isteri mendiang, To’ Puan Lady Wyn McWilliams dan anak-anak mendiang, Douglas dan Michael, tabah menghadapi kehilangan ini," titah baginda pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: