Rayuan pekerja kilang berjaya, bebas sabitan rogol gadis bawah umur

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pekerja kilang yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan kerana merogol gadis bawah umur, berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun membenarkan rayuan terakhir Muhammad Arfahsyar Ishak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan itu.

Hakim Hadhariah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, melepas dan membebaskan Muhammad Arfahsyar selepas memutuskan bahawa mangsa bukan saksi yang boleh dipercayai kerana terdapat percanggahan ketara dalam keterangannya semasa perbicaraan.

Peguam G Ravishankar berhujah bahawa mangsa, yang kini berusia 23 tahun, bukan saksi yang boleh dipercayai dan telah membuat laporan polis untuk menarik balik aduannya yang dibuatnya pada 2019.

Beliau berkata, gadis itu juga telah menghantar pesanan teks kepada anak guamnya memohon maaf dan menambah bahawa laporan pertama dibuat dengan harapan Muhammad Arfahsyar akan mengahwininya.

Ravishankar berkata, gadis itu memberitahu doktor yang memeriksanya bahawa laporan polis pertama dibuat kerana Muhammad Arfahsyar telah menemui teman wanita baru dan tidak membalas pesanan teksnya.

Muhammad Arfahsyar, 31, didakwa merogol gadis itu yang ketika itu berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah hotel di Bedong, Kedah pada jam 3 petang, 5 April 2014.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 13 November 2017 dan dijatuhi hukuman 15 tahun dan enam sebatan rotan.

Artikel Berkaitan:

Setelah mengemukakan rayuan, Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2018 menolak rayuannya atas sabitan tetapi membenarkan hukuman dikurangkan kepada lapan tahun penjara dan lima sebatan rotan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari. - Bernama