Polis akan panggil Rafizi minggu depan

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan merakam keterangan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada minggu depan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya dalam perancangan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan pada minggu depan.

"Kita akan memanggil beliau (Rafizi) untuk dirakam percakapan pada minggu depan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Rafizi sedia dipanggil polis susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Abd Latiff.

Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui'izzuddin Al-Sayed Mohamad membuat laporan polis terhadap Rafizi pada Selasa.

Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh didakwa isteri keduanya turut terlibat dalam penyelewengan projek LCS.

Susulan itu Eng Lai berkata, pihaknya mengesan sebanyak dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang telah dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Beh Eng Lai
Beh Eng Lai

Dalam perkembangan berasingan, Eng Lai berkata, polis telah merakam beberapa individu termasuk seorang hakim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Eng Lai berkata, pihaknya telah merakam keterangan pegawai undang-undang dan hakim bagi membantu siasatan.

"Lebih kurang 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, kita juga dalam proses siasatan untuk mengesan siapa yang menyebarkan draf kehakiman tersebut," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Datin Seri Rosmah Mansor.

Eng Lai dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kejadian itu disedari pengadu ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur apabila dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang juga dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dokumen itu adalah dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan yang juga pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim.