Kegiatan seleweng diesel bersubsidi tumpas

Mohd Zuhairi (dua dari kanan) melihat peralatan yang dirampas dalam serbuan sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Bukit Raja di sini, pada Khamis.
Mohd Zuhairi (dua dari kanan) melihat peralatan yang dirampas dalam serbuan sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Bukit Raja di sini, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - 10 individu ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Raja di sini, pada Khamis dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan bernilai RM97,200 pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan dijalankan sekitar jam 10 malam itu hasil maklumat risikan terdapat aktiviti keluar masuk kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan di lokasi premis tersebut.

"Dipercayai wujud urus niaga jual beli diesel daripada stesen minyak berdekatan dengan premis yang diserbu.

"Empat warga tempatan dipercayai pemandu lori, manakala enam lagi warga Myanmar yang bekerja sebagai penjaga premis ditahan dalam serbuan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga lori, enam unit tong jenis IBC (Intermediate Bulk Containers), dua tong jenis Skid Tank berisi kira-kira 19,400 liter diesel dan empat peralatan pam penyedut minyak yang dianggarkan bernilai RM97,200.

Menurut Mohd Zuhairi, kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 18 (1) Peraturan Barang Kawalan Berjadual (Pindaan) 2021.

"Aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi akan terus dibanteras dengan strategi penguatkuasaan menerusi risikan dan serbuan," katanya.

Artikel Berkaitan: