Jual loteri awam haram di premis aksesori telefon

Anggota polis dan TNB melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap sebuah premis kerana menjalankan aktiviti menjual loteri awam secara haram di pekan Grisek, Tangkak, pada Khamis.
Anggota polis dan TNB melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap sebuah premis kerana menjalankan aktiviti menjual loteri awam secara haram di pekan Grisek, Tangkak, pada Khamis.
A
A
A

TANGKAK - Sebuah premis di pekan Grisek, dekat sini yang menjual loteri awam secara tidak sah dan berselindung di sebalik jualan aksesori telefon, menerima padah apabila bekalan elektrik premis tersebut dipotong pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, pemotongan dilakukan pada jam 10.30 pagi yang dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tangkak.

"Premis terlibat didapati masih aktif menjalankan urus niaga loteri awam haram walaupun pernah diserbu polis.

"Premis ini didapati menjual komponen dan peralatan telefon bimbit, namun pada masa sama aktif menjual loteri awam secara haram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, serbuan menerusi Ops Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik itu dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan dipercayai pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan.

Jelas Mohd Fadhil, operasi berkenaan akan diteruskan bagi memerangi kegiatan judi di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tangkak di talian 06-9781222.

Artikel Berkaitan: