MotoGP hilang ‘nama besar’ apabila Dovizioso bersara

Lambaian terakhir Dovizioso sebelum bersara selepas GP San Marino hujung minggu ini. - Foto Getty Images
Lambaian terakhir Dovizioso sebelum bersara selepas GP San Marino hujung minggu ini. - Foto Getty Images
A
A
A

JUARA dunia, Fabio Quartararo percaya dunia sukan permotoran khususnya MotoGP bakal kehilangan satu ‘nama besar’ apabila Andrea Dovizioso bersara setelah berakhirnya Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano, hujung minggu ini.

Menurut Quartararo, pelumba Itali itu juga sering dikaitkan sebagai pencabar utama kepada Marc Marquez suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun katanya, Dovizioso nyata mempunyai kelebihan tersendiri dan ia menjadikan pelumba berusia 36 tahun itu sebagai seorang pelumba yang ‘istimewa.’

“Bagi saya, Dovizioso merupakan seorang pelumba yang hebat. Buktinya, dia sudah berada dalam sukan MotoGP ini untuk satu tempoh yang agak lama.

“Jika tidak silap sudah banyak kejayaan yang diraihnya selama terlibat dalam sukan MotoGP ini, mungkin lebih daripada 15 kejuaraan pernah dikecapinya.

“Oleh itu sudah pasti sukan MotoGP ini akan kehilangan satu ‘nama besar’ apabila dia (Dovizioso) bersara hujung minggu ini,” katanya.

Dovizioso - Foto Motorsport Images
Dovizioso - Foto Motorsport Images

Untuk rekod, Dovizioso yang kini berlumba bagi pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP bakal mengakhiri kariernya dalam sukan MotoGP setelah berakhirnya GP di Litar Misano hujung minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dovizioso yang mula beraksi dalam kelas 125cc pada 2004 selain melakukan debut dalam MotoGP pada 2008, telah melakar 15 kejayaan termasuk menaiki podium sebanyak 62 kali sebelum ini.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai persiapannya untuk perlumbaan hujung minggu ini, Quartararo berkata, dia melakukan persiapan seperti biasa dalam usaha melebarkan lagi penguasaannya selaku pendahulu dalam siri kejuaraan ketika ini.

“Saya hanya melakukan persiapan seperti biasa bagi mengharungi perlumbaan kali ini.

“Walaupun sebelum ini tewas kepada Bagnaia (Francesco), di Litar Red Bull sebelum ini, saya pastikan bahawa mampu mencatatkan kemenangan kali ini,” katanya.