Pemimpin perlu merdeka untuk jadi khalifah sebenar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENGANJURAN Malaysia #QuranHour kali kelapan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dengan mengangkat surah Al-Sajdah memberi makna signifikan terutama buat pemimpin negara.

Dalam konteks surah Al-Sajdah ayat 15,16 dan 24, Malaysia #QuranHour membawa Kerangka 5S (Surah Al-Sajdah, Sombong, Sujud dan Sedekah serta Sabar) sebagai formula bagi menangani isu kesombongan dengan bersujud, bersedekah dan bersabar sebagai pemimpin serta rakyat.

Melalui tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama juga kita dapat menilai erti sebenar kesepakatan antara pemimpin dan rakyat, selari dengan tema kemerdekaan negara pada tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub melalui ucapan pesanannya bertajuk ‘Kesabaran Pemimpin’ menyeru supaya golongan pemimpin memahami surah Al-Sajdah dan memasukkan erti sebenar surah tersebut dalam kerangka diri agar dapat menjadi khalifah sebenar.

“Lagi besar jawatan, lagi besar tanggungjawab kita. Jadi, marilah kita ambil momen sempena kemerdekaan ini untuk membebaskan diri daripada belenggu selama ini dan masukkanlah tanggungjawab itu sebagai tugas utama kita,” kata Hussamuddin.

Pesanan yang dititipkan itu membawa satu visi dan misi yang perlu diterapkan dalam setiap diri pemimpin supaya negara dapat ditadbir oleh golongan jujur, amanah, tidak sombong serta bebas sebarang salah laku yang merugikan negara serta rakyat.

Dan, bukannya terus mewarisi sifat atau pimpinan dahulu yang menjadikan korupsi dan ketamakan sebagai sebahagian daripada darah daging mereka.

Apakah erti kemerdekaan setiap tahun jika masih tidak merdeka rohani dan jasmani?

Artikel Berkaitan:

Justeru, sempena menghayati erti sebenar kemerdekaan, sebagai rakyat dan pemimpin keluarga, organisasi mahupun negara, sudah tiba masanya kita meleburkan kesombongan dalam diri untuk menjadi bangsa merdeka yang berjaya di dunia serta akhirat.

Mulakannya hari ini. Insya-ALLAH semuanya akan diberkati.