Kerajaan ambil langkah ofensif tangani jenayah siber

Annuar (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi PEDi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (kanan) pada Majlis Penyampaian Watikah PEDi Negeri Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi PEDi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (kanan) pada Majlis Penyampaian Watikah PEDi Negeri Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan akan mengambil langkah ofensif, defensif serta advokasi dalam usaha menangani masalah keselamatan siber negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, selain penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) turut menubuhkan satu pasukan petugas untuk memperincikan perakuan-perakuan baharu terutama berkaitan undang-undang.

"Kita telah memutuskan untuk membentuk satu pasukan petugas untuk memperincikan perakuan-perakuan baharu termasuk apa yang perlu dilakukan dengan kerangka undang-undang sedia ada dan memperbaiki perundangan.

"Yang kedua menyemak semua kadar denda supaya setimpal dengan kesalahan dan ketiga, menyediakan satu pusat di mana orang yang menjadi mangsa cepat dapat buat rujukan (jika ditipu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna Negeri Melaka di sini malam Khamis.

Seramai 30 individu dilantik menjadi Pengerusi PEDi yang akan merangka pelbagai program di pusat jalur lebar berkenaan agar ia memberi manfaat kepada komuniti setempat terutama berkaitan pendidikan keselamatan siber negara serta pembangunan ekonomi berteraskan digital.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, K-KOMM juga melihat teknologi yang terdapat di negara-negara lain dalam usaha mengekang jenayah siber daripada terus berleluasa.

"Kementerian Kewangan dan jawatankuasa peringkat nasional telah bersetuju supaya kerajaan beri keutamaan termasuk keperluan bajet kerana kita rasa kita perlu guna teknologi yang sesuai untuk atasi masalah ini, termasuk juga di peringkat kerjasama antara negara.

"Saya sedang berkomunikasi dengan rakan sejawat di negara-negara yang bersempadan dengan kita terutamanya ASEAN juga kerana masalah perkongsian data rentas sempadan adalah antara perkara-perkara yang perlu dilihat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: