MBI Selangor laksana Program CeIO bermula September ini

Norita
Norita
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor diberi kepercayaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bermula September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Norita Mohd Sidek berkata, seramai 60 peserta meliputi pegawai-pegawai dari anak-anak syarikat negeri Selangor dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyertai kursus tersebut.

Menurutnya, MBI merupakan agensi pertama yang diberi pengiktirafan oleh SPRM atas usaha mereka memastikan anak-anak syarikat di Selangor mematuhi integriti dalam sistem tadbir urus pihak tersebut.

"Selama ini, Program CeIO dijalankan oleh SPRM menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) kerana tempatnya terhad.

"Kini mereka (SPRM) meluaskan program tersebut melalui MBI dan kami uruskan dari segi tempat, kemudahan dan lain-lain.

"Bagaimanapun, modul kursus tetap akan disampaikan oleh pihak SPRM sendiri," katanya selepas Majlis Ikrar Rasuah Rakan Perniagaan MBI dan Pelancaran Buku Panduan Integriti di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), di sini pada Khamis.

Dalam program sama, sebanyak lebih 1,000 rakan perniagaan MBI dan syarikat milikannya menyertai majlis tersebut bagi menerapkan budaya kerja berintegriti di dalam sistem rantaian perniagaan yang melibatkan agensi tersebut.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri oleh adalah Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Artikel Berkaitan: