Bomba Selangor laksana 4,704 khidmat tangkap ular

Ular tedung selar berjaya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, April lalu. - Foto Facebook Bomba Kuala Selangor (Gambar kecil: Hafisham- Foto Asril Aswandi Shukor)
Ular tedung selar berjaya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, April lalu. - Foto Facebook Bomba Kuala Selangor (Gambar kecil: Hafisham- Foto Asril Aswandi Shukor)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan 4,704 khidmat khas bagi menangkap ular di negeri itu dalam tempoh tiga bulan sejak Februari.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, untuk pecahan kes itu, sebanyak 1,610 kes dilaporkan pada bulan Februari, Mac (1,660) dan 1,434 kes pada April.

Beliau berkata, pihaknya tidak tolak kemungkinan cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar untuk mencari kawasan yang sesuai.

“Masyarakat diingatkan untuk memastikan kawasan kediaman sentiasa bersih sebagai salah satu langkah pencegahan agar ular tidak memasuki ke dalam premis atau rumah.

“Selain itu, pastikan rumah tiada ruang atau lubang untuk reptilia itu masuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara kes khidmat menangkap ular yang dijalankan bomba di sekitar Selangor. - Foto Facebook Bomba Sukarela Bandar Tasik Puteri
Antara kes khidmat menangkap ular yang dijalankan bomba di sekitar Selangor. - Foto Facebook Bomba Sukarela Bandar Tasik Puteri

Tambahnya, sebelum menaiki kenderaan juga perlu diperiksa bagi memastikan tiada haiwan berbahaya itu bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.

Katanya, hubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan segera dan pastikan diri serta keluarga berada di kawasan selamat.

“Anggota operasi sentiasa siap siaga dalam setiap operasi. Kemahiran dan peralatan khas digunakan di setiap kes khidmat menangkap ular,” ujarnya.