PM minta Kedah beri perhatian isu kolam takungan musang king

Ismail Sabri menemui rakyat Baling yang hadir Majlis Doa Selamat Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.
Ismail Sabri menemui rakyat Baling yang hadir Majlis Doa Selamat Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.
A
A
A

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan kerajaan negeri Kedah mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya berhubung kewujudan tiga kolam takungan projek musang king di Gunung Inas.

Menurutnya, tindakan itu bagi menangani kerisauan penduduk berdekatan terutama Kampung Iboi yang terjejas akibat bencana kepala air, sehingga mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian 4 Julai lalu.

"Saya akan minta kerajaan negeri untuk ambil tindakan sewajarnya. Macam mana kerajaan Kedah mahu laksanakan, terserah kepada kerajaan negeri memandangkan ia bawah bidang kuasa mereka.

"Isu kolam itu perlu diselesaikan, kalau tidak, kita baiki rumah baharu, siap rumah, kalau kolam itu pecah, bimbang berlaku banjir yang lebih teruk dari yang pernah berlaku. Demi keselamatan penduduk, saya akan bincang segera dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya ambil tindakan segera," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas Majlis Doa Selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia Parlimen Baling Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.

Rakyat Baling yang hadir pada Majlis Doa Selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.
Rakyat Baling yang hadir pada Majlis Doa Selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Bencana Banjir Daerah Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.

Sementara itu, berhubung cadangan pembinaan struktur sabo di Baling, Ismail Sabri berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menilai semula cadangan tersebut.

"KASA bercadang buat struktur sabo untuk tahan sampah dan sebagainya, tetapi saya difahamkan kajian sedang dibuat untuk pastikan sama ada perlu atau tidak kerana kawasan itu bukan sentiasa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan bercadang untuk membina lebih banyak struktur sabo di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, struktur sabo tersebut dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.