2,529 asnaf riqab termasuk LGBT dibimbing ke pangkal jalan

Hashim (tengah) merasmikan Forum Riqab, Memerdekakan Diri dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.
Hashim (tengah) merasmikan Forum Riqab, Memerdekakan Diri dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,529 golongan asnaf riqab termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Selangor mendapat bimbingan serta bantuan kebajikan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi Jawatankuasa Riqab Negeri Selangor, Tan Sri Hashim Meon berkata, sebanyak RM21.2 juta daripada peruntukan zakat asnaf riqab diperuntukkan sepanjang tahun ini untuk membantu golongan itu yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain agar kembali ke pangkal jalan.

Menurutnya, peruntukan zakat asnaf riqab itu disalurkan menerusi 25 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) yang berdaftar di bawah MAIS, yang turut berperanan besar dalam membantu MAIS mengatasi masalah sosial di negeri Selangor.

"Sehingga Ogos, MAIS telah membantu seramai 2,529 asnaf riqab dan angka ini meningkat dari tahun ke tahun, menunjukkan MAIS serta agensi berkaitan komited membantu, membimbing, memulihkan dan memberikan bantuan kebajikan kepada asnaf riqab di Selangor.

"Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Selangor, sudah menjadi tanggungjawab MAIS untuk melaksanakan program-program kesedaran berhubung dengan isu sosial melibatkan umat Islam di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Riqab, Memerdekakan Diri dan Pelancaran Bulan Pembebasan Riqab di sebuah hotel di Seksyen 14, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail.

Asnaf riqab merupakan individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan orang Islam yang terpesong agamanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan forum berkenaan dan Kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab bermula 1 September sehingga 30 September 2022.

Hashim
Hashim

Hashim berkata, pelbagai program dan aktiviti yang dirangka selain forum riqab antaranya ceramah kesedaran kesihatan, program bimbingan asnaf riqab dan pelbagai program secara fizikal dan secara dalam talian.

Menurut beliau, sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Selangor, adalah menjadi tanggungjawab MAIS dalam melaksanakan program-program kesedaran melibatkan masalah sosial, aqidah dan kesihatan mental.

"MAIS juga berharap penganjuran kempen ini dapat menyediakan ruang dan informasi kepada umat Islam agar dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah kesihatan dan gejala sosial yang berlaku kini," katanya.