'Tiada penutupan IPG buat masa ini'

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (tengah) menyerahkan sijil kepada penerima Liang Vinn Yi pada Majlis Anugerah dan Penyiaran Biasiswa Universiti UCSI 2019 hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (tengah) menyerahkan sijil kepada penerima Liang Vinn Yi pada Majlis Anugerah dan Penyiaran Biasiswa Universiti UCSI 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada penutupan Institut Pendidikan Guru (IPG) atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Ia susulan laporan sebuah berita dalam talian hari ini yang mendakwa IPG dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merupakan antara institusi yang akan dirombak semula dalam pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan bagi menjimatkan kos kerajaan.

Laporan itu menyatakan ada usaha dalam KPM yang cuba mengekalkan dua institusi itu daripada dikecilkan atau ditutup.

“Pada peringkat ini kita tidak merancang untuk menutup IPG. Jangan cetuskan panik. Ya, kami memang ingin mengurangkan kos tetapi tidak menutup IPG. Kami masih memerlukan IPG untuk melatih guru-guru untuk sekolah rendah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah dan Biasiswa Universiti UCSI, hari ini.

Mengulas lanjut, Teo berkata seramai 6,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memasuki 27 IPG di seluruh negara pada Julai tahun ini.

Tegas Teo, kementerian ada melakukan strategi pengurangan perbelanjaan dan kecekapan kos selari dengan saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun kementerian tidak memikirkan untuk menutup IPG dan agensi berkaitan.

Sementara itu, sumber laporan itu menyatakan bahawa KPM telah diberitahu mengenai pelan untuk merombak enam agensi, bahagian dan projek di bawah KPM awal bulan lepas melalui satu surat.

Bagaimanapun, Teo berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai surat itu dan perlu melihat isi kandungan surat berkenaan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Sumber laporan itu turut menyatakan fungsi IPG yang melatih guru sekolah rendah akan diambil secara berperingkat oleh Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan kursus pendidikan manakala ITBM yang melakukan proses terjemahan dan penerbitan buku akan diambil alih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.- Bernama